Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Azmin Ali nafi pelibatan dalam video seks sejenis

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Mohamed Azmin Ali hari ini (12 Jun) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkannya dalam satu video lucah.

Anggaran Waktu Membaca:
Azmin Ali nafi pelibatan dalam video seks sejenis

Gambar fail Azmin Ali. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 12 Jun 2019 07:03PM Dikemas Kini : 12 Jun 2019 07:06PM

KUALA LUMPUR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Mohamed Azmin Ali hari ini (12 Jun) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkannya dalam satu video lucah.

Encik Mohamed Azmin berkata ia adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadiannya serta menjatuhkan beliau dan memusnahkan kerjaya politiknya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini yang bersifat tuduhan jahat dan kejam,” katanya dalam satu kenyataan.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya ‘gutter politics’. Sesungguhnya, ia tidak mempunyai tempat dalam era Malaysia Baru, di mana kita sedang berusaha untuk membina semula negara melalui reformasi institusi dan berpegang kepada politik nilai yang luhur dan murni,” katanya.

Encik Azmin berkata beliau telah mengarahkan para peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan-tuduhan tersebut serta terhadap pelaku lain.

Beliau yakin ia dimulakan beberapa bulan lalu berdasarkan perkembangan politik semasa melalui ugutan terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadan serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas. 

“Saya sama sekali tidak akan tunduk kepada tindakan-tindakan pengecut ini dan percubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai dari isu-isu negara yang lebih mendesak dan kejayaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam melaksanakan dasar pembangunan negara yang mampan dan inklusif.

Encik Azmin turut menyuarakan keyakinan bahawa Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil segala langkah yang perlu berhubung tuduhan tersebut.

Tular di media sosial video lucah kononnya membabitkan Encik Azmin dan seorang lagi lelaki serta dakwaan kononnya sejumlah wang sebuah syarikat disalurkan ke akaun milik menteri itu.

Dalam pada itu, UEM Group Berhad (UEM Group) dalam kenyataan hari ini menjelaskan ia tidak memiliki akaun dengan nombor akaun yang tertera seperti dakwaan yang dibuat di pelbagai laman media sosial.

Ia turut memaklumkan tidak memiliki akaun di cawangan utama Maybank Kuala Lumpur. 

“Bagi membersihkan nama syarikat, UEM Group telah membuat satu laporan polis dan bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata suruhanjaya itu akan menyiasat semua laporan secara profesional dan tidak berpihak kepada sesiapa.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan