Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Azmin Ali akui kenal 'dari jauh' lelaki yang buat dakwaan seksual

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Mohamed Azmin Ali, berkata aduan polis yang dibuat oleh setiausaha politiknya pagi Khamis (13 Jun) di Putrajaya sudah memadai untuk pihak berkuasa itu menyiasat mengenai penularan satu video lucah yang cuba dikaitkan dengannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Azmin Ali akui kenal 'dari jauh' lelaki yang buat dakwaan seksual

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Mohamed Azmin Ali. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 13 Jun 2019 11:42PM Dikemas Kini : 13 Jun 2019 11:45PM

SHAH ALAM: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Mohamed Azmin Ali, berkata aduan polis yang dibuat oleh setiausaha politiknya pagi Khamis (13 Jun) di Putrajaya sudah memadai untuk pihak berkuasa itu menyiasat mengenai penularan satu video lucah yang cuba dikaitkan dengannya.

Beliau berkata walaupun aduan itu bukan dibuat olehnya sendiri, namun ia dilakukan berdasarkan pandangan daripada peguam-peguamnya dan dilihat cukup untuk polis menjalankan siasatan lanjut.

Ditanya sama ada pihaknya mengenali pelaku dalam video berkenaan, Encik Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan beliau hanya mengenali individu itu dari jauh.

“...sebab dia anggota parti (PKR), pernah menjadi anggota parti dan kemudian sertai parti pembangkang. Setelah kita (Pakatan Harapan) menang (pada Pilihan Raya Umum ke-14), (dia) lompat balik ke dalam PKR.

“Ia merupakan karakter individu yang diperalatkan dalam fitnah ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan kumpulan anak syarikat perbadanan itu, hari ini.

Dalam pada itu, ditanya sama ada beliau mengesyaki mana-mana pihak yang mendalangi penularan video lucah dikaitkan dengannya itu, Encik Azmin menegaskan dirinya tidak akan membuat sebarang tuduhan melulu.

Mengulas mengenai timbulnya video lucah itu ibarat satu sabotaj oleh pihak tertentu menyusuli Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk menyerahkan tampuk pentadbiran negara kepada calon yang layak, Encik Azmin enggan membuat sebarang spekulasi.

“Saya tidak mahu membuat spekulasi terhadap kuasa Perdana Menteri dalam menentukan calon yang terbaik untuk menyandang jawatan nombor satu dalam pentadbiran negara kerana yang penting, ianya (calon Perdana Menteri) mestilah diterima oleh majoriti rakyat untuk kepimpinan akan datang,” katanya.

Beliau turut menyeru supaya tiada lagi mana-mana pihak memilih ‘jalan kotor’ seumpama itu (menular video lucah) sekiranya wujud perbezaan pendapat atau ada individu tidak berjaya memberikan satu khidmat yang diterima oleh rakyat.

Tegasnya, dalam era Malaysia Baharu, semua pihak seharusnya berpegang kepada aspek politik nilai selain mempunyai prinsip yang jelas supaya tidak mudah terjebak dengan konsep politik yang kejam dan jijik seperti itu.

Tambah beliau, teguran yang dibuat Dr Mahathir supaya politik di negara itu lebih bersih harus diberi perhatian serius oleh semua pihak khususnya pimpinan parti kerana rakyat masa kini dambakan satu kerajaan yang dapat menyelesaikan masalah ekonomi, kos sara hidup selain berusaha menggalakkan pelaburan dalam negara.

“Jadi, semua pihak bertanggungjawab untuk berikan dan sediakan sebuah kerajaan yang stabil dan tidak menggugat kestabilan kerajaan hari ini.

“Saya menyeru kepada rakan-rakan supaya ambil serius teguran perdana menteri kerana akhirnya kita yang bertanggungjawab kepada Allah SWT dan rakyat di negara ini,” katanya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan