Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Awas minum kopi! Bahan asing punca gejala letih

Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan kopi pracampuran yang diminum dua lelaki Nepal sehingga menyebabkan mereka mengalami gejala letih yang teruk dipercayai mengandungi bahan asing disyaki sejenis dadah.

Anggaran Waktu Membaca:
Awas minum kopi! Bahan asing punca gejala letih

Syarikat terbabit menyatakan bahawa paket kopi yang diberi kepada mangsa sudah diubah. (Gambar: Mycafe Penang Durian White Coffee/Facebook)

Diterbitkan : 03 Feb 2018 07:45AM Dikemas Kini : 03 Feb 2018 07:51AM

GEORGE TOWN: Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan kopi pracampuran yang diminum dua lelaki Nepal sehingga menyebabkan mereka mengalami gejala letih yang teruk dipercayai mengandungi bahan asing disyaki sejenis dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata bahawa berdasarkan ujian analisis sampel kopi yang dijalankan pegawai teknologi makanan, makmal keselamatan dan kualiti makanan Pulau Pinang, terdapat kandungan dadah dalam kopi tersebut tetapi belum dapat dipastikan jenisnya.

"Hasil analisis sampel paket kopi yang diberikan seorang wanita tidak dikenali kepada dua pengawal keselamatan itu juga menunjukkan bahawa paket itu telah dibuka dan dilekatkan semula kerana bahagian bawah paket itu menunjukkan kesan koyak.

"Berat paket yang dilekatkan semula itu juga menunjukkan penambahan lebih 10 gram(g) daripada berat asal iaitu 40g kepada 50g dan dalam serbuk kopi itu mengandungi benda asing berwarna hijau berbeza dengan paket asal," katanya semalam (2 Feb).

Beliau manambah bahawa sampel kopi itu juga dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mengenal pasti jenis sebenar dadah yang dicampur dalam paket tersebut.

ACP Anuar berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan wanita yang memberikan kopi pracampuran itu kepada dua lelaki Nepal berkenaan.

Menurut beliau, dua wanita yang turut dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas meminum kopi berkenaan mengalami gejala yang sama dalam kejadian 27 Jan lalu, memperolehi kopi itu daripada orang yang menderma kepada sebuah tokong.

Seramai lima individu termasuk dua wanita mendapatkan rawatan di HPP selepas mengalami gejala letih dan lemah yang teruk malah ada yang tidak sedarkan diri selepas dipercayai meminum sejenis kopi sejak Ahad hingga Selasa.

Semua mereka yang berusia 19 hingga 62 tahun ditahan di wad untuk pemerhatian dan dijalankan beberapa ujian. Tiga daripadanya dibenarkan keluar wad selepas keadaan mereka bertambah baik.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Dr Wan Mansor Hamzah ketika dihubungi berkata bahawa tiada kes baru dilaporkan dan siasatan berhubung sampel kopi serta ujian ke atas pesakit sudahpun selesai dijalankan.

"Maklumat dan hasil ujian berhubung kes itu diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut," katanya.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan