Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Awas! Menonton Piala Dunia boleh sebabkan serangan jantung

Sorakan 'GOL'! mungkin buat jantung tertekan sekiranya anda sudah mempunyai masalah jantung

Anggaran Waktu Membaca:
Awas! Menonton Piala Dunia boleh sebabkan serangan jantung

(Gambar hiasan: Fabrizio Bensch/ Reuters)

Diterbitkan : 08 Jul 2018 11:40PM Dikemas Kini : 11 Jul 2018 01:29AM

SINGAPURA: Para pengguna Jam Tangan Apple di serata dunia, menerima mesej denyutan jantung yang naik mendadak ketika menonton perlawanan bola sepak, khususnya semasa tendangan penalti.

Dalam satu kes yang teruk, seorang pengulas televisyen Mesir meninggal dunia akibat serangan jantung selepas pasukan negaranya kalah kepada Arab Saudi pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia, 25 Jun lalu.

Seorang warga China, berusia 56 tahun, yang juga penyokong pasukan Jerman, mengalami serangan jantung di Hubei, Wuhan, selepas menyaksikan Mexico menundukkan pasukan kegemarannya itu pada 17 Jun lalu.

Satu kajian dalam Jurnal Kardiologi Kanada mendapati denyutan jantung manusia meningkat 75 peratus ketika menonton perlawanan hoki di televisyen dan ia melonjak sebanyak 110 peratus apabila menontonnya secara langsung. Kadar itu tidak banyak berbeza berbanding senaman kuat yang meletakkan tekanan terhadap jantung.

Kajian yang dijalankan di Brazil sepanjang empat musim Piala Dunia pula menunjukkan bahawa insiden serangan jantung bertambah semasa perlawanan akhir dan melambung tinggi apabila Brazil berentap dengan pasukan negara-negara lain, menurut Dr Dinesh Nair seorang konsultan kardiologi di Hospital Mount Elizabethyang juga pengerusi jawatankuasa perubatan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Jadi, jika anda atau pun seseorang yang anda kenali mengalami simptom-simptom sedemikian semasa menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia, segera dapatkan bantuan perubatan: Sakit dada, jantung berdebar, rasa mual, pening kepala mendadak, berpeluh dan sakit pada bahagian belakang, rahang dan lengan.

Menurut para pakar kardiologi tempatan, meskipun tidak ada dokumen yang merakamkan jumlah serangan jantung yang meningkat semasa tempoh Piala Dunia, serangan jantung adalah antara penyakit kronik yang paling sering berlaku di Singapura.

Justeru, jika anda ingin menonton lebih banyak acara Piala Dunia, adalah penting untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Ini termasuk menjaga pemakanan, bersenam secara kerap dan jalani pemeriksaan kesihatan.  

Sumber : CNA/HS/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan