Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Awas! Inai seperti ini boleh akibatkan kelecuran kimia pada kulit

Gara-gara memakaikan inai hitam pada anak-anaknya, kini seorang ibu terpaksa mendengar anak-anaknya mengerang kesakitan selepas mereka mengalami beberapa kelecuran kimia.

Anggaran Waktu Membaca:
Awas! Inai seperti ini boleh akibatkan kelecuran kimia pada kulit

Cik Toni Feeney berkongsi gambar tangan anaknya yang mengalami kelecuran kimia. (Gambar: Toni Feeney/ Facebook)

Diterbitkan : 07 Aug 2018 12:11AM Dikemas Kini : 07 Aug 2018 12:17AM

LANCASHIRE: Gara-gara memakaikan inai hitam pada anak-anaknya, kini seorang ibu terpaksa mendengar anak-anaknya mengerang kesakitan selepas mereka mengalami beberapa kelecuran kimia.

Toni Feeney, 30 tahun, sedang bercuti bersama keluarganya di Maghribi ketika kedua-dua anak lelakinya meminta dipakaikan inai hitam. Salah satu daripadanya meminta dilukiskan sarang labah-labah Spiderman manakala seorang lagi meminta dilukis gambar naga.

Malangnya, 'tatu-tatu' itu menyebabkan kulit mereka rosak teruk, gambar yang dilukis pada kulit mereka seolah-olah menyerap ke dalam kulit.

Menerusi catatan Facebooknya, Cik Feeney memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan menggunakan inai hitam sedemikian.

"Ini akibat memakai inai hitam pada kulit! Kami memakaikannya pada anak-anak kami semasa cuti sekolah tanpa berfikir bahawa ia akan membawa padah," tulis Cik Feeney seperti ditukil The Independent.

"Hospital mengatakan bahawa pewarna dan kimia dalam inai hitam itu terlalu kuat. Mereka kini mengalami kelecuran kimia dan perlu mengambil antibiotik dan antihistamin dengan harapan mereka tidak terkena jangkitan dan luka mereka semakin teruk.

"Jika anda ditawarkan (untuk mencuba inai hitam ini), katakan TIDAK!"

Bercakap kepada The Independent, Cik Feeney mendedahkan bahawa kedua-dua anaknya kini "beransur pulih".

Risiko menggunakan inai hitam diketahui ramai dan pihak berkuasa sudah mengeluarkan amaran bahawa sesiapa yang mencuba 'tatu-tatu mudah luntur' seperti ini berisiko mengalami reaksi alahan yang mengancam nyawa dan/atau luka yang berkekalan sepanjang hayat anda.

Inai berkenaan boleh didapatkan secara meluas di Britain dan platform-platform online. Ia dipercayai mengandungi pewarna yang dipanggil paraphenylenediamine atau PPD.

PPD lazimnya digunakan dalam dos-dos kecil dalam pewarna rambut di negara-negara Eropah, lapor The Independent.

Namun, Dr Chris Flower, ketua pengarah persatuan kosmetik, memberi amaran bahawa orang ramai perlu menggunakan inai hitam tersebut dengan berhati-hati.

"Ketika disapukan pada kulit, PPD boleh menyebabkan kelecuran kimia dan mengakibatkan reaksi alergi."

Simptom-simptomnya termasuk pembengkakan kulit dan kulit melepuh. Mereka yang mengalami simptom-simptom ini dinasihati supaya mendapatkan bantuan perubatan secepat mungkin.

Dalam pada itu, anda tidak perlu berasa khuatir tentang inai biasa kerana biasanya, ia selamat digunakan,

"Inai sebenar tidak pernah berwarna hitam, ia berwarna cokelat-jingga." 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan