Images
  • milo
    Australia tidak mengeluarkan visa kepada aktivis berhaluan kanan, Milo Yiannopoulos, yang melabelkan Islam sebagai ‘kejam’ dan ‘terasing’. (Gambar: Milo Yiannopoulos/Facebook)

Australia tolak visa aktivis berhaluan kanan label Islam zalim, terasing

SYDNEY: Australia tidak mengeluarkan visa kepada aktivis berhaluan kanan, Milo Yiannopoulos, yang melabelkan Islam sebagai ‘kejam’ dan ‘terasing’ selepas serangan pengganas di masjid di New Zealand, kata pegawai hari ini (16 Mac).

“Milo Yiannopoulos tidak akan dibenarkan masuk Australia untuk tujuan menganjurkan acara di negara ini," kata Menteri Imigresen, David Coleman, dalam satu kenyataan.

“Kenyataan Yiannopoulos di media sosial mengenai serangan pengganas di Christchurch amat keji dan membangkitkan kebencian dan perpecahan,” tambah Encik Coleman.

Media Australia melaporkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Scott Morrison sudah memutuskan pada Mac untuk tidak mengeluarkan visa kepada Yiannopoulos, tetapi mengubah keputusan itu selepas bantahan daripada puak konservatif dalam Parti Liberal sendiri.

Kerajaan selalunya enggan memberi komen mengenai keputusan visa individu, tetapi membuat pengecualian pada Sabtu susulan kemarahan global mengenai pembunuhan 49 umat Islam di New Zealand, dilakukan pelampau berhaluan kanan kelahiran Australia.

Langkah dibuat selepas Yiannopoulos menyiarkan komen di Facebook, yang menyatakan serangan seperti di New Zealand berlaku kerana kerajaan ‘memberi muka kepada budaya agama kejam dan terasing’.

Encik Cameron membalas dengan berkata "serangan pengganas di Christchurch dilancarkan ke atas umat Islam yang mengamalkan agama mereka dengan aman."

“Itu adalah tindakan amat jahat,” kata beliau. 

- AFP/SU/na

Top