Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Australia tidak akan buka sempadannya kepada pelancong asing hingga 2022

Australia tidak akan menerima lawatan pelancong antarabangsa sehingga tahun depan, dengan kepulangan pekerja hijrahan berkemahiran dan pelajar diberikan keutamaan yang lebih tinggi, umum Perdana Menteri Scott Morrison pada Selasa (5 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Australia tidak akan buka sempadannya kepada pelancong asing hingga 2022

Gambar fail: REUTERS

Diterbitkan : 05 Oct 2021 12:20PM Dikemas Kini : 05 Oct 2021 12:33PM

CANBERRA: Australia tidak akan menerima lawatan pelancong antarabangsa sehingga tahun depan, dengan kepulangan pekerja hijrahan berkemahiran dan pelajar diberikan keutamaan yang lebih tinggi, umum Perdana Menteri Scott Morrison pada Selasa (5 Okt).

Encik Morrison berkata Australia dijangka akan menepati sasaran vaksinasinya pada Selasa dengan 80 peratus penduduk berusia 16 tahun ke atas dijangka sudah mendapatkan suntikan kedua, sekali gus membuka laluan kepada negara itu untuk membuka semula sempadannya.

Minggu lalu, beliau menggariskan rancangan untuk membenarkan warga dan penduduk tetap yang sudah divaksin untuk melakukan penerbangan ke luar negara dari November buat pertama kalinya sejak larangan perjalanan yang sangat ketat dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

Bagaimanapun Encik Morrison pada Selasa berkata, selepas warga Australia, keutamaan seterusnya adalah pekerja hijrahan yang berkemahiran dan pelajar antarabangsa yang memasuki Australia. Selepas itu, barulah ia akan menyambut ketibaan pelancong antarabangsa.

Imigrasi Australia berada pada tahap terendah sejak Perang Dunia Kedua disebabkan oleh sekatan-sekatan pandemik.

Pandemik COVID-19 turut membawa kesan buruk terhadap universiti-universiti Australia yang sangat bergantung kepada yuran pelajar antarabangsa. Sektor pendidikan bimbang pelajar akan mendaftar di negara-negara lain jika Australia tidak membuka semula sempadannya.

"Kami akan menyambut ketibaan pelancong antarabangsa juga, saya yakin, bermula tahun depan," kata Encik Morisson kepada stesen televisyen Seven Network.

Majlis Eksport Pelancongan Australia, yang mewakili sektor yang menjana A$45 bilion (S$44.4 bilion) setahun daripada pelancong antarabangsa sebelum pandemik, mahu menyaksikan ketibaan pelancong antarabangsa selewat-lewatnya Mac.

Australia sedang mengejar masa untuk memvaksin penduduknya sedang varian Delta yang lebih mudah berjangkit terus menular setelah melanda Sydney pada Jun lalu.

Sumber : AP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan