Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Australia selamatkan anak yatim militan ISIS dari kem Syria

Lapan anak yatim militan ISIS Australia diselamatkan dari sebuah kem di Syria, kata Perdana Menteri Scott Morrison pada Isnin (24 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Australia selamatkan anak yatim militan ISIS dari kem Syria

(Gambar hiasan: Roberto Schmidt/AFP)

Diterbitkan : 24 Jun 2019 01:15PM Dikemas Kini : 24 Jun 2019 01:19PM

SYDNEY: Lapan anak yatim militan ISIS Australia diselamatkan dari sebuah kem di Syria, kata Perdana Menteri Scott Morrison pada Isnin (24 Jun).

Anak-anak dan cucu-cucu dua orang militan ISIS yang menjadi terkenal kerana kekejaman mereka, berada di bawah jagaan pegawai Australia, kata Encik Morrison dalam satu kenyataan.

Anak-anak itu dipercayai berusia antara dua hingga 17 tahun dan tinggal di sebuah kem di utara Syria. Ini menyukarkan usaha para pegawai konsul untuk menghubungi mereka.

Sebelum ini, Encik Morrison berkata bahawa kerajaannya hanya akan membantu rakyatnya hanya jika mereka mengunjungi kedutaan atau pejabat konsul tetapi beliau kelihatan sudah bertukar fikiran.

"Hakikat bahawa ibu bapa kanak-kanak itu meletakkan anak-anak mereka dalam kedudukan berbahaya, iaitu dengan membawa mereka ke kawasan peperangan, adalah kelakuan keji, kata Encik Morrison dalam satu kenyataan.

"Namun, kanak-kanak tidak sepatutnya dihukum atas jenayah ibu bapa mereka."

Kumpulan itu termasuk tiga anak dan dua cucu militan kelahiran Sydney, Khaled Sharrouf, yang mendapat liputan meluas setelah berkongsi gambar salah seorang anak lelakinya yang memegang kepala askar Syria yang sudah dipenggal.

Mereka yang diselamatkan juga termasuk tiga anak Yasin Rizvic yang telah melakukan perjalanan dari Australia ke Syria dengan isterinya.

Kedua-dua militan ISIS dianggap sudah mati.

Encik Morrison tidak mendedahkan anak-anak mereka itu atau mengulas lebih lanjut tentang bagaimana mereka dipindahkan tetapi beliau mengesahkan bahawa mereka "dihantar balik dari kawasan pertempuran dan diletakkan di bawah jagaan pegawai kerajaan Australia."

Stesen televisyen Australian Broadcasting Corporation melaporkan bahawa anak-anak itu sudah dibawa ke salah sebuah negara jiran Syria.

Kes tersebut menarik perhatian ramai setelah nenek kepada anak-anak Sharrouf - Zaynab, 17 tahun, yang sarat mengandung, adik perempuannya Hoda, adik lelaki mereka Hamzeh, lapan tahun dan dua anak kecil perempuan Zaynab, Ayesha, tiga tahun dan Fatima, dua tahun - merayu kepada Canberra untuk membawa mereka pulang ke Australia.

Sumber : AFP/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan