Images
  • nz christchurch
    Pemerintah Australia mengarahkan penyedia khidmat internet negara itu untuk menyekat lapan laman web yang masih menyiarkan rakaman pembunuhan beramai-ramai di Christchurch. (Gambar: Sanka VIDANAGAMA/AFP)

Australia sekat laman web yang masih siarkan video serangan Christchurch

SYDNEY: Pemerintah Australia mengarahkan para penyedia khidmat internet untuk menyekat lapan laman web yang masih menunjukkan rakaman pembunuhan beramai-ramai serangan maut di dua masjid di Christchurch, New Zealand, awal tahun ini.

Seorang lelaki membawa senjata separa automatik menyerang para jemaah ketika solat Jumaat di South Island, New Zealand, pada 15 Mac lalu sekali gus meragut 51 jiwa dalam kejadian tembakan beramai-ramai yang terburuk di negara itu.

Penyerang berkenaan bertindak menyiarkan pembunuhan terbabit secara langsung di Facebook dan ia dikongsi secara meluas.

Kebanyakan laman web segera memadamkan pautan kepada video tersebut namun pesuruhjaya eKeselamatan Australia, Julie Inman Grant pada Ahad (8 Sep) berkata lapan laman web tempatan mengingkari arahannya untuk memadamkan kandungan itu.

Lapan laman web itu disekat sedang Australia mempergiat usahanya untuk mengekang perkongsian online kandungan berbentuk keganasan.

Australia pada April lalu meluluskan rang undang-undang yang membenarkan Canberra mendenda syarikat-syarikat media sosial sehingga 10 peratus daripada pendapatan global tahunan mereka dan memenjarakan para pegawai eksekutif sehingga tiga tahun jika kandungan video keganasan tidak dipadamkan dengan secepat mungkin.

Ia kini adalah satu kesalahan bagi syarikat-syarikat seperti Facebook Inc dan Google milik Alphabet Inc, yang memiliki laman perkongsian video YouTube, jika mereka tidak memadamkan sebarang video atau gambar yang memaparkan mana-mana perbuatan seperti pembunuhan, penderaan atau rogol tanpa lengah.

- REUTERS/FZ/fz

Top