Images
  • solomon
    75 tan minyak dari kapal MV Solomon Trader sudah mengalir ke laut dan 600 tan minyak masih berada dalam kapal 225 meter itu. (Gambar: AFP)

Australia pertingkat bantuan bagi tangani tumpahan minyak Kepulauan Solomon

SYDNEY: Australia sedang meningkatkan usaha untuk mengawal tumpahan minyak dari sebuah kapal kargo yang terkandas di perairan Kepulauan Solomon yang disenaraikan sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO.

Kejadian itu dikhuatiri akan mencetuskan krisis sekitaran di perairan tersebut.

Kapal MV Solomon Trader yang berdaftar di Hong Kong terkandas sejak 5 Februari lalu semasa memunggah bauksit di Pulau Rennell yang terpencil, yang terletak sekitar 240 kilometer dari bahagian selatan ibu kota Honiara.

Kira-kira 75 tan minyak kapal mengalir ke laut manakala lebih 600 tan minyak masih lagi berada di dalam kapal tersebut.

"Memandangkan kerosakan pada ekologi bertambah buruk dan pihak-pihak komersil terbabit tidak mengambil tindakan yang mencukupi, pemerintah Kepulauan Solomon memohon bantuan dari Australia," kata Menteri Luar Marise Payne dalam satu kenyataan.

"Sebagai respons, kami akan melancarkan operasi pengurangan pencemaran di luar pesisir, termasuk mengerahkan peralatan dan perkakas, serta kapal-kapal dan kakitangan khas."

Operasi itu akan dikendalikan oleh Penguasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA), dan ia akan menyokong usaha Solomon.

Pulau Rennell merupakan sebuah pulau karang di permukaan laut yang terbesar di dunia dan merangkumi kawasan Warisan Dunia UNESCO, menganjur sejauh beberapa kilometer ke laut.

- AFP/MU/ai

Top