Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Australia pasang pembesar suara di merata Melbourne; beri amaran serangan pengganas

 Berpuluh-puluh unit pembesar suara kini dipasang di seluruh bandar Melbourne, Australia hari ini (11 Dis) sebagai sebahagian daripada peningkatan keselamatan utama untuk memberi amaran kepada orang ramai berkaitan serangan pengganas.

Anggaran Waktu Membaca:
Australia pasang pembesar suara di merata Melbourne; beri amaran serangan pengganas

Para pegawai Polis Federal Australia dan Polis NSW bekerjasama dalam serbuan di bandar Sydney. (Gambar: Sam Mooy/AAP Image via AP)

Diterbitkan : 11 Dec 2017 05:38PM Dikemas Kini : 11 Dec 2017 05:45PM

SYDNEY: Berpuluh-puluh unit pembesar suara kini dipasang di seluruh bandar Melbourne, Australia hari ini (11 Dis) sebagai sebahagian daripada peningkatan keselamatan utama untuk memberi amaran kepada orang ramai berkaitan serangan pengganas, lapor agensi berita China Xinhua.

Langkah itu merupakan saranan satu kajian anti-pengganasan menyusuli beberapa insiden yang berlaku pada 2017.

Pada Januari lalu, satu serangan menggunakan kenderaan di Melbourne meragut enam nyawa manakala pada bulan Julai, insiden keganasan yang berlaku menyaksikan dua orang maut termasuk seorang lelaki bersenjata, di pinggir bandar tersebut.

Bulan lalu, satu pakatan untuk membunuh orang awam ketika sambutan Malam Tahun Baru di lokasi pelancongan popular Melbourne, iaitu Dataran Persekutuan, dipatahkan oleh pihak berkuasa.

Inisiatif itu, yang menelan belanja AS$7.5 juta (S$10.1 juta), bakal membabitkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) tambahan di Daerah Pusat Perniagaan dan pembinaan lebih banyak penghadang bagi mengelak kereta memasuki laluan pejalan kaki yang sibuk.

"Pembesar suara tersebut akan membolehkan kita mengeluarkan mesej amaran jika berlaku sesuatu insiden sama ada dalam bentuk keganasan atau yang mengorbankan nyawa secara besar-besaran, atau yang berisiko tinggi," kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya Polis Victoria, Shane Patton kepada media tempatan.

"Ia akan membolehkan kami memaklumkan orang awam di bandar ini ke mana mereka harus pergi, apa yang mereka harus lakukan selain memastikan mereka selamat dan memahami apa yang sedang berlaku."

Secara kebetulan, sebuah forum tiga hari berkaitan pencegahan keganasan global bermula di Melbourne hari ini, yang mengundang penceramah dari seluruh dunia termasuk Britain, Amerika Syarikat, Kanada, Perancis, New Zealand, Singapura dan Belgium.

Sementara itu, Penolong Pesuruhjaya Polis Victoria, Ross Guenther, dalam satu kenyataan mengatakan persidangan tersebut merupakan satu peluang hebat untuk semua pihak yang berkepentingan dari seluruh dunia berkumpul dan berkongsi ilmu serta amalan terbaik bagi memerangi keganasan.

"Kami juga menyedari bahawa ini adalah sesuatu yang tiada satupun pertubuhan boleh perangi secara bersendirian, dan keupayaan untuk bertemu serta membincangkan pengalaman dalam landskap antikeganasan yang sentiasa berevolusi adalah satu perkara yang begitu bermanfaat," katanya.

"Kami menjangka meraih banyak manfaat daripada forum ini yang membolehkan kami melakukan yang terbaik bagi melindungi masyarakat di Victoria."

Polis berkata ujian pertama sistem amaran itu akan dijalankan pada 28 Disember sebagai persediaan bagi sambutan Malam Tahun Baru.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan