Images
  • carrot
    (Gambar: Matt Kean MP/Twitter)

Australia guna pesawat gugurkan makanan untuk haiwan liar

AUSTRALIA: Sebuah kapal terbang kini digunakan untuk memberi makan kepada beribu-ribu hidupan liar yang menjadi mangsa kebakaran belukar di Australia.

Kerajaan New South Wales (NSW) memilih untuk menggunakan cara menggugurkan makanan, antaranya lobak merah dan ubi keledek, untuk memastikan haiwan-haiwan yang terperangkap tidak kebuluran.

Antara yang paling terjejas ialah wallaby, dengan perkhidmatan Taman Negara NSW menghabiskan masa sepanjang minggu lalu untuk menggugurkan makanan bagi koloni haiwan itu yang kebanyakannya berada di Lembah Capertree dan Wolgan, Taman Negara Yengo, Lembah Kangaroo, dan sekitar Jenolan, Oxley Wild Rivers dan Taman Negara Curracubundi.

Secara keseluruhannya, lebih daripada 2,200 kilogram sayur-sayuran dan buah-buahan segar sudah 'digugurkan' dari pesawat untuk haiwan-haiwan terbabit.

Menteri Alam Sekitar NSW, Matt Kean berkata, biarpun ada haiwan yang berjaya menyelamatkan diri daripada kebakaran tetapi berhadapan risiko ketiadaan sumber makanan.

Encik Keane berkata pihaknya akan terus mengawasi haiwan-haiwan berkenaan dan berusaha memastikan pemulihan pasca kebakaran berjalan lancar.

- Agensi berita/NA/na

Top