Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Australia, AS, India, Jepun intai alternatif Inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera China

Australia, Amerika Syarikat, India dan Jepun sedang mempertimbangkan sebuah skim prasarana serantau sebagai alternatif kepada Inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera China yang bernilai berbilion dolar.

Anggaran Waktu Membaca:
Australia, AS, India, Jepun intai alternatif Inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera China

Lebuh Raya Persahabatan China-Pakistan adalah salah sebuah daripada Inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera China. (Gambar: JOHANNES EISELE/AFP)

Diterbitkan : 19 Feb 2018 12:44PM Dikemas Kini : 19 Feb 2018 12:49PM

SYDNEY: Australia, Amerika Syarikat, India dan Jepun sedang mempertimbangkan sebuah skim prasarana serantau sebagai alternatif kepada Inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera China yang bernilai berbilion dolar.

Langkah itu sebahagian daripada usaha negara-negara tersebut mengatasi pengaruh Beijing, demikian dilaporkan Australian Financial Review yang menukil seorang pegawai kanan Amerika hari ini (19 Feb).

Pegawai yang tidak dinamakan itu dipetik sebagai berkata rancangan yang melibatkan empat rakan serantau tersebut masih "baru" dan "tidak cukup matang untuk diumumkan" semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Australia Turnbull ke Amerika Syarikat minggu ini.

Namun, pegawai berkenaan berkata projek itu tersenarai dalam agenda pertemuan PM Turnbull dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan sedang dibincangkan secara serius.

Sumber itu menambah istilah yang dipilih untuk merujuk kepada rancangan tersebut adalah sebagai "alternatif" kepada Inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera China bukannya "saingan".

"Tiada siapa yang mengatakan bahawa China tidak harus membangunkan prasarananya," menurut pegawai itu. "China mungkin membina sebuah pelabuhan yang secara sendiri tidak berdaya maju dari segi ekonomi. Kita dapat menjadikannya lebih berdaya maju dari segi ekonomi dengan membina jalan ataupun laluan rel yang menghubungkan pelabuhan itu."

Wakil-wakil PM Turnbull, Menteri Luar Julie Bishop dan Menteri Perdagangan Steven Ciobo, bagaimanapun tidak segera memberi respons apabila diminta komen mereka.

Sementara itu, Jepun merancang untuk memanfaatkan bantuan pembangunan rasmi (ODA) untuk menggalakkan "Strategi Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka" yang lebih meluas termasuk "prasarana bermutu tinggi" menurut draf ringkasan kertas putihnya pada 2017 tentang ODA. Strategi Indo-Pasifik itu disokong Washington dan turut dilihat sebagai tindak balas kepada Inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera China.

Amerika Syarikat, Jepun, India dan Australia baru-baru ini menyambung semula rundingan empat hala untuk memperkukuhkan kerjasama keselamatan dan menyelaraskan alternatif bagi pembiayaan prasarana serantau yang ditawarkan China.

Kelompok empat negara yang dipanggil Quad itu pertama kali bertemu 10 tahun lalu sebagai inisiatif untuk membincangkan dan bekerjasama mengenai keselamatan. Ia dilihat China sebagai satu percubaan untuk menyekat pengaruhnya di rantau Asia Pasifik. November lalu, kumpulan empat negara itu mengadakan rundingan di Manila di luar Sidang Puncak ASEAN dan Timur Asia. 

Sumber : Reuters/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan