Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Askar veteran AS dan kekasih Perancis bertemu semula selepas 75 tahun

Di tengah-tengah Perang Dunia Kedua, seorang askar muda rakyat Amerika Syarikat jatuh cinta dengan seorang gadis rakyat Perancis berusia 18 tahun ketika beliau dikerahkan ke bandar kediamannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Askar veteran AS dan kekasih Perancis bertemu semula selepas 75 tahun

KT Robbins, 97 tahun, akhirnya bertemu kembali dengan kekasihnya setelah berpisah selama 75 tahun. (Gambar: Fred Tanneau/AFP)

Diterbitkan : 29 Jun 2019 02:59PM Dikemas Kini : 29 Jun 2019 03:21PM

PARIS: Di tengah-tengah Perang Dunia Kedua, seorang askar muda rakyat Amerika Syarikat jatuh cinta dengan seorang gadis rakyat Perancis berusia 18 tahun ketika beliau dikerahkan ke bandar kediamannya.

Kini 75 tahun kemudian, KT Robbins yang berusia 97 tahun akhirnya bertemu kembali dengan kekasihnya yang gambarnya disimpan selama lebih separuh abad.

Robbins, seorang askar Tentera Amerika Syarikat, hanya berusia 24 tahun apabila beliau bertemu Jeannine Ganaye, kini 92 tahun, buat pertama kali di bandar Briey di bahagian timur laut Perancis pada 1944.

Pada masa itu, Robbins mencari seseorang untuk mencuci pakaiannya dan ibu Jeannine bersetuju untuk membantunya, lapor DailyMail.

Pasangan itu saling jatuh cinta tetapi dua bulan kemudian, Robbins diberitahu beliau harus meninggalkan kampung itu untuk menyertai pertempuran di Timur.

"Saya berkata kepadanya mungin suatu hari nanti, saya akan kembali untuk menjemput kamu tetapi ia tidak berlaku," kata Robbins kepada saluran televisyen Perancis, France 2.

"Apabila dia tinggalkan saya menaiki trak, saya menangis dan tentunya, saya amat sedih," kata Jeannine yang kini mempunyai nama keluarga Pierson. "Saya berharap beliau tidak pulang ke Amerika selepas perang berakhir."

Apabila perang tamat pada 1945, Pierson mula mempelajari bahasa Inggeris dengan harapan Robbins akan pulang suatu hari nanti.

Bagaimanapun menurut laporan DailyMail, Robbins menyertai Infantri ke-26 Divisyen Pertama pada 1940 sebelum pulang ke Amerika.

Di situlah, beliau bertemu dan berkahwin dengan Lillian, isterinya selama 70 tahun. Mereka bekerja di sebuah kedai perkakasan di Mississippi selama 50 tahun. Lillian meninggal dunia pada 2015 pada usia 92 tahun.

Pierson pula mendirikan rumahtangga pada 1949 dan menjadi ibu kepada lima orang anak, lapor DailyMail.

Meskipun berpuluh-puluh tahun sudah berlalu, namun Robbins masih menyimpan gambar Pierson apabila beliau ditemui sekumpulan wartawan Perancis yang sedang membuat laporan mengenai askar veteran Perang Dunia Kedua di Amerika Syarikat.

Para wartawan berjaya mencari Pierson di sebuah kemudahan persaraan Montigny-lès-Metz, Moselle, sekitar 43 kilometer dari tempat di mana pasangan itu bertemu buat pertama kali.

Mereka kemudian mengaturkan peluang untuk Robbins dan Pierson bertemu semula di kemudahan tersebut, dengan memberitahu askar veteran itu: "Beliau masih hidup dan beliau sedang menunggu anda".   

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan