Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Askar Thai berpangkat Sarjan Mejar dibunuh setelah tembak mati 26 orang

Seorang askar Thailand yang membunuh sekurang-kurangnya 26 orang sebelum ditembak mati di sebuah pusat beli-belah oleh anggota komando, mengamuk akibat pertikaian hutang, kata Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-O-Cha hari ini (9 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Askar Thai berpangkat Sarjan Mejar dibunuh setelah tembak mati 26 orang

Pasukan keselamatan Thai meninggalkan pusat beli-belah Terminal 21 selepas kejadian tembakan pada 9 Feb 2020 (Gambar: REUTERS/Athit Perawongmetha)

Diterbitkan : 09 Feb 2020 08:19PM Dikemas Kini : 09 Feb 2020 08:24PM

BANGKOK: Seorang askar Thailand yang membunuh sekurang-kurangnya 26 orang sebelum ditembak mati di sebuah pusat beli-belah oleh anggota komando, mengamuk akibat pertikaian hutang, kata Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-O-Cha hari ini (9 Feb).

Ini kali pertama Bangkok menyebut motif di sebalik kejadian itu yang disifatkan sebagai "belum pernah berlaku sebelum ini".

Penembak tepat (sharp-shooter) mengakhiri drama mendebarkan selama 17 jam itu dengan menembak mati lelaki bersenjata berkenaan pada pagi Ahad. Sejak semalam kejadian tembak menembak silih berganti sementara orang ramai yang terperangkap cuba menyelamatkan diri dari pusat beli-belah Terminal 21 di Nakhon Ratchasima, juga dikenali sebagai Korat.

Encik Prayut mengatakan bahawa 26 orang awam - yang termuda merupakan budak lelaki berusia 13 tahun - serta anggota pasukan keselamatan turut terbunuh.

"Tidak pernah berlaku sebelum ini di Thailand, dan saya mahu ini menjadi kali terakhir krisis sebegini berlaku," katanya di luar sebuah hospital di mana mangsa-mangsa sedang dirawat.

Sekurang-kurangnya dua mangsa sedang menjalani pembedahan otak.

PM Prayut, seorang bekas ketua tentera, menyalahkan "masalah peribadi" berkaitan jualan rumah sebagai sebab askar tersebut mengamuk. Ia bermula pada Sabtu petang berhampiran berek tentera dan selama beberapa jam penembak itu memuat naik catatan melalui Facebook.

Penyerang, seorang pegawai muda tentera yang dikenal pasti sebagai Sarjan-Mejar Jakrapanth Thomma, menggunakan mesingan M60 dan senapang yang dicuri dari salah satu berek terbesar Thailand serta kenderaan tentera untuk melakukan serangan itu.

PM Prayut berkata pelaku mengalahkan anggota keselamatan di depo senjata.

"Ini bukan cuai. Kami tidak membiarkan depo senjata begitu sahaja - ada orang yang menjaganya."

Kebanyakan mangsa maut di dalam dan sekitar pusat beli-belah.

Thailand mempunyai antara kadar tertinggi pemilikan senjata di dunia. Beberapa kejadian tembakan di beberapa mahkamah tahun lepas menimbulkan kebimbangan baru berhubung keganasan senjata api.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan