Images
  • PLANE

Asiana Airlines minta kru kabin ambil cuti tanpa gaji

SEOUL: Syarikat penerbangan Asiana Airlines dari Korea Selatan telah meminta anggota kru kabin mengambil cuti tanpa gaji kerana laluan penerbangan syarikat itu ke China dikurangkan susulan kebimbangan terhadap penyebaran COVID-19, kata seorang jurucakap syarikat itu hari ini (12 Feb).

Asiana Airlines pada masa ini menerima permohonan daripada anggota kru kabin untuk secara suka rela mengambil cuti tanpa gaji antara 15-29 Februari, kata jurucakap itu lagi.

Syarikat penerbangan itu juga sedang mempertimbangkan menerima permohonan cuti tanpa gaji pada bulan Mac, satu langkah sejajar dengan pengurangan laluan China, tambahnya.

Agensi berita Yonhap sebelum itu melaporkan bahawa 80 peratus atau lebih penerbangan antara China dan Korea Selatan telah digantung atau dikurangkan disebabkan kebimbangan mengenai penyebaran virus itu.

Syarikat penerbangan Hong Kong, Cathay Pacific mengumumkan minggu lalu ia telah meminta semua 27,000 kakitangannya mengambil cuti tanpa gaji sehingga tiga minggu disebabkan permintaan yang merosot akibat penularan virus COVID-19.

Menurut Cathay ia juga merancang untuk mengurangkan kapasitinya sebanyak 30 peratus sepanjang dua bulan akan datang termasuk 90 peratus penerbangan ke China.

- REUTERS/SU/na

Top