Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AS turunkan taraf kawal selia penerbangan M'sia ke Kategori 2

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengumumkan bahawa Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat memaklumkan yang ia disenaraikan sebagai Pengawal Selia Penerbangan Kategori 2 pada Isnin (11 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
AS turunkan taraf kawal selia penerbangan M'sia ke Kategori 2

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 12 Nov 2019 08:51AM Dikemas Kini : 12 Nov 2019 08:56AM

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengumumkan bahawa Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat memaklumkan yang ia disenaraikan sebagai Pengawal Selia Penerbangan Kategori 2 pada Isnin (11 Nov).

Ia adalah hasil daripada Kajian Semula FAA ke atas CAAM yang dilaksanakan pada April 2019.

FAA menjalankan audit pengawal selia yang mengawasi operasi penerbangan ke Amerika Syarikat.

Audit itu merangkumi bidang perundangan, pengawasan, perwakilan kuasa serta kecukupan bilangan kakitangan teknikal di bawah CAAM.

Pengerusi CAAM, Kapten Ahmad Ridzwan Mohd Salleh mengakui bahawa dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pengawal selia penerbangan, ada berlaku beberapa kelemahan.

“Kami ingin menegaskan bahawa penilaian hanya merangkumi peranan CAAM sebagai pengawal selia penerbangan.

“Pengkategorian ini bukan penilaian Syarikat Penerbangan, Lapangan Terbang atau Perkhidmatan Trafik Udara yang berada di bawah naungan CAAM,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bagaimanapun, oleh kerana disenaraikan sebagai Pengawal Selia Kategori 2, syarikat penerbangan yang dilesenkan oleh CAAM tidak dapat menambah laluan ulang-alik ke Amerika Syarikat.

Kapten Ahmad Ridzwan berkata penilaian dan pengkategorian berikutnya oleh FAA adalah bersifat sendiri dan sepihak dan di bawah hak mereka sebagai negara ahli ICAO.

CAAM meminta FAA untuk menjalankan penilaian semula dalam masa 12 bulan akan datang dengan hasrat agar status Kategori 1 dipulihkan semula.

“Dimaklumkan bahawa perancangan telahpun dibuat untuk menangani dapatan audit tersebut,” katanya.

CAAM menegaskan bahawa ia akan terus menyumbang kepada pembangunan dan pengawasan penerbangan menerusi kerusinya dalam Majlis ICAO.

Ia juga akan terus mematuhi sepenuhnya semua standard dan undang-undang ICAO dan sudah diaudit oleh ICAO pada pertengahan 2019.

CAAM memandang serius terhadap penilaian FAA dan akan berusaha untuk membuat perubahan dalam struktur dan operasinya.

CAAM juga menyatakan Kementerian Pengangkutan sudah dimaklumkan mengenai perkembangan dalaman.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan