Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AS tingkat sokongan tangani COVID-19 di India

Amerika Syarikat (AS) akan "serta-merta" menyediakan bekalan bahan penghasilan vaksin, serta rawatan, ujian, alat bantuan pernafasan dan peralatan perlindungan untuk dihantar kepada India ketika kuasa besar Asia Selatan itu berdepan lonjakan COVID-19, menurut Rumah Putih, pada Ahad (25 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
AS tingkat sokongan tangani COVID-19 di India

Gambar fail Rumah Putih di Washington. (Gambar: REUTERS/Yuri Gripas/Files)

Diterbitkan : 26 Apr 2021 12:08PM Dikemas Kini : 26 Apr 2021 12:11PM

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan "serta-merta" menyediakan bekalan bahan penghasilan vaksin, serta rawatan, ujian, alat bantuan pernafasan dan peralatan perlindungan untuk dihantar kepada India ketika kuasa besar Asia Selatan itu berdepan lonjakan COVID-19, menurut Rumah Putih, pada Ahad (25 Apr).

Negara-negara barat termasuk Britain, Perancis dan Jerman turut berikrar memberi bantuan sedang krisis COVID-19 di India semakin meruncing, sekali gus meningkatkan peningkatan jumlah kes global baru-baru ini. Ini meskipun jumlah vaksin yang ditadbirkan secara global sudah menjangkaui satu bilion.

New Delhi adalah bandar yang paling teruk terjejas dengan laporan mengenai kesesakan hospital, kekurangan oksigen dan ubat-ubatan serta keluarga pesakit merayu bantuan di media sosial.

"Amerika Syarikat sudah mengenal pasti sumber-sumber bahan mentah tertentu yang sangat diperlukan untuk pembuatan vaksin Covishield yang akan serta-merta tersedia untuk India," menurut kenyataan dari Rumah Putih.

Washington turut "mengenal pasti bekalan rawatan, kit ujian diagnostik cepat, ventilator, dan peralatan perlindungan diri (PPE) yang akan segera tersedia untuk India," menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Emily Horne.

Bagaimanapun kenyataan itu tidak menyatakan sama ada Amerika Syarikat akan menghantar jutaan lebihan dos vaksin AstraZeneca ke India, selepas penasihat pandemik Amerika Syarikat, Anthony Fauci mengatakan pada Ahad (25 Apr) bahawa perkara itu akan dipertimbangkan.

AS mempunyai sekitar 30 juta dos vaksin kos rendah AstraZeneca yang tidak diluluskan untuk penggunaan di negara itu. Encik Fauci memberitahu program berita ABC "This Week" bahawa idea menghantar vaksin-vaksin itu ke India adalah "sesuatu yang sedang dipertimbangkan."

Vaksin AstraZeneca dan vaksin Johnson & Johnson disyaki menyebabkan pembekuan darah yang sangat jarang tetapi serius dalam segelintir kes, bagaimanapun diluluskan untuk penggunaan di banyak negara termasuk India.

Para pakar memberi amaran tiada yang akan selamat daripada COVID-19 sehingga semua orang termasuk di negara miskin dan membangun menerima suntikan vaksin COVID-19.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan