Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AS senarai hitam syarikat tentera Myanmar ekoran kekerasan membawa maut

Amerika Syarikat merancang untuk mengenakan sekatan terhadap dua konglomerat yang dikawal oleh tentera Myanmar berkaitan rampasan kuasa pada 1 Februari dan tindakan kekerasan yang membawa maut, kata dua sumber yang rapat dengan perkara itu pada Rabu (24 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
AS senarai hitam syarikat tentera Myanmar ekoran kekerasan membawa maut

Penunjuk perasaan anti rampasan kuasa di Myanmar pada 17 Mac 2021 (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 25 Mar 2021 09:35PM Dikemas Kini : 25 Mar 2021 09:37PM

WASHINGTON: Amerika Syarikat merancang untuk mengenakan sekatan terhadap dua konglomerat yang dikawal oleh tentera Myanmar berkaitan rampasan kuasa pada 1 Februari dan tindakan kekerasan yang membawa maut, kata dua sumber yang rapat dengan perkara itu pada Rabu (24 Mac).

Langkah oleh Perbendaharaan Amerika Syarikat untuk menyenarai hitamkan Myanmar Economic Corporation dan Myanmar Economic Holdings serta membekukan sebarang pegangan aset di Amerika Syarikat mungkin dilaksanakan seawal Khamis, menurut sumber-sumber itu.

Para ketua tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa pada hari pertama parlimen pada Februari dan menahan para pemimpin awam termasuk penerima hadiah Nobel Aung San Suu Kyi, yang partinya menang besar dalam pilihan raya pada November. Tentera mendakwa terdapat penipuan undian tetapi para pemerhati mendapati tiada penyimpangan besar berlaku.

Rampasan kuasa tersebut mencetuskan bantahan meluas, dan pasukan keselamatan telah bertindak balas dengan kekerasan, membunuh sekurang-kurangnya 275 orang.

Presiden AS Joe Biden mengeluarkan perintah eksekutif pada 11 Februari lantas membuka jalan untuk sekatan baru terhadap tentera Myanmar dan kepentingannya. Perintah itu membekukan simpanan AS$1 bilion (S$1.35 bilion) yang disimpan oleh bank pusat Myanmar di New York Fed, yang cuba ditarik balik oleh pihak junta selepas merampas kuasa.

Amerika Syarikat dan Britain, serta Kesatuan Eropah dan Kanada, sudah pun mengenakan beberapa sekatan terhadap para jeneral tertinggi termasuk Ketua Panglima Min Aung Hlaing dan anak-anak dewasa beliau.

Namun selain tiga syarikat batu permata yang dikenakan sekatan AS pada Februari dan langkah Jabatan Perdagangan AS menyenarai hitamkan eksport beberapa konglomerat, sekatan-sekatan itu hingga kini tidak menyasarkan kepentingan perniagaan tentera.

Tentera menguasai sebahagian besar ekonomi Myanmar melalui firma induk dan anak syarikatnya dalam pelbagai sektor.
 

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan