Images
  • china us flag
    Bendera kedua-dua negara China dan Amerika Syarikat. (Gambar fail: Reuters/Hyungwon Kang)

AS sekat beberapa barangan import dari wilayah Xinijang, China

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Isnin (14 Sep) mengenakan sekatan import ke atas beberapa barangan tertentu dari wilayah Xinjiang, China, lapor Agensi Anadolu.

Sekatan itu dikenakan kerana AS mendakwa barangan itu dihasilkan menggunakan buruh paksa di kem pendidikan semula Uighur, Beijing.

Barang-barang itu temasuk kapas, alat ganti komputer, pakaian dan produk penjagaan rambut, menurut Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS.

"Tindakan itu menggambarkan DHS menentang aktiviti buruh paksa yang tidak sah dan tidak berperikemanusiaan," kata Pemangku Timbalan Setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) Ken Cuccinelli dalam satu kenyataan.

Mulai sekarang, CBP akan merampas mana-mana barang berkenaan jika didapati berada di pasaran AS.

Setiausaha Negara Mike Pompeo berkata sekatan itu "menunjukkan dunia membantah pelanggaran hak asasi manusia" China "terhadap kaum Uighur dan minoriti Muslim lain di Xinjiang.

Pada Julai, AS menyenarai hitam pegawai kerajaan China serta sebuah pertubuhan separa tentera kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kekerasan terhadap kumpulan Turki Muslim di Beijing.

Wilayah Xinjiang didiami kira-kira 10 juta etnik Uighur.

Kumpulan itu mewakili sekitar 45 peratus penduduk Xinjiang, sejak sekian lama menuduh pihak berkuasa China melakukan diskriminasi budaya, agama dan ekonomi.

China dilaporkan sewenang-wenangnya menahan kebanyakan etnik Uighur di kem pendidikan semula, tetapi Beijing menafikan tuduhan itu dengan menyatakan kem berkenaan menawarkan pendidikan dan latihan sukarela untuk memerangi ekstremisme.

- BERNAMA/EM/tq

Top