Images
  • us
    Kenderaan-kenderaan tentera Amerika Syarikat sedang melalui pusat pemeriksaan Manbij. (Gambar: Delil Souleiman/AFP) 

AS mula pindah peralatan tentera dari Syria

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat sudah mula memindahkan beberapa peralatan ketenteraan dari Syria, menyusuli arahan Presiden Donald Trump.

“Saya boleh mengesahkan pergerakan peralatan dari Syria," menurut seorang pegawai pertahanan kepada AFP. "Atas alasan keselamatan, saya tidak akan mendedahkan butiran lanjut ketika ini.”

Pemindahan peralatan sejak beberapa hari lalu sudah dilaporkan Cable News Network (CNN), yang memetik kenyataan seorang pegawai pentadbiran yang mempunyai pengetahuan langsung berhubung operasi itu. Menurut beliau, ia memberi isyarat awal pengunduran tentera Amerika dari negara Timur Tengah itu.

Bagaimanapun, pegawai yang dipetik CNN itu tidak menjelaskan kandungan kargo yang dipindahkan atau bagaimana ia dipindahkan.

Mereka juga tidak mendedahkan dari bahagian Syria mana peralatan itu akan dibawa keluar, walaupun dijangka pengunduran itu bermula dari arah utara negara.

Laporan CNN juga mendedahkan pegawai itu terdahulu berkata, Pentagon memberi isyarat Presiden sedang berusaha ke arah matlamat untuk melaksanakan keputusan beliau bulan lalu.

Beliau berkata walaupun pengunduran tentera tidak dilakukan serta-merta, pemindahan peralatan adalah satu cara untuk menunjukkan ke arah matlamat itu.

Pengumuman mengejutkan Encik Trump pada 19 Disember lalu mahu mengundurkan semua 2,000 tentera Amerika dari konflik negara Timur Tengah Barat yang bergolak dan menyebabkan peletakan jawatan ketua pertahanannya, Jim Mattis. 

- AFP/SU/ai

Top