Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AS kerah kapal induk, kapal pemusnah ke Timur Tengah bagi bendung Iran

Pentadbiran Presiden Donald Trump mengerahkan kapal-kapal induk pesawat udara serta pesawat pemusnah ke Timur Tengah sebagai tindak balas terhadap "tanda-tanda dan amaran-amaran" yang membimbangkan dari Iran.

Anggaran Waktu Membaca:
AS kerah kapal induk, kapal pemusnah ke Timur Tengah bagi bendung Iran

Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, John Bolton. (Gambar: Abir Sultan/AFP)

Diterbitkan : 06 May 2019 02:56PM Dikemas Kini : 06 May 2019 02:59PM

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump mengerahkan kapal-kapal induk pesawat udara serta pesawat pemusnah ke Timur Tengah sebagai tindak balas terhadap "tanda-tanda dan amaran-amaran" yang membimbangkan dari Iran. Langkah itu diambil untuk membuktikan Amerika Syarikat akan bertindak balas dengan "kekuatannya" terhadap sebarang serangan, menurut penasihat keselamatan negara itu John Bolton pada Ahad (5 Mei).

Di tengah-tengah ketegangan yang memuncak antara Washington dengan Tehran, seorang pegawai Amerika Syarikat berkata pengerahan kapal-kapal itu sebagai "pencegahan terhadap apa yang dilihat sebagai persiapan oleh Iran dan sekutu-sekutunya yang membayangkan serangan mungkin dilancarkan terhadap tentera Amerika Syarikat di rantau itu."

Bagaimanapun, pegawai yang tidak ingin namanya didedahkan berkata bahawa Amerika Syarikat tidak menjangkakan sebarang serangan oleh Iran.

Encik Bolton - yang menerajui dasar Amerika Syarikat yang semakin agresif terhadap Iran - berkata keputusan itu, yang mungkin memburukkan lagi keadaan antara kedua-dua negara, bertujuan untuk memberikan mesej "jelas dan tidak ragu-ragu" mengenai pendirian Amerika Syarikat terhadap Tehran.

Walaupun beliau tidak merujuk kepada sebarang kegiatan tertentu Iran yang menimbulkan keprihatinan, Iran baru-baru ini memberi amaran bahawa ia akan menyekat Selat Hormuz jika ia dilarang menggunakan saluran strategik itu. Sekitar 20 peratus minyak yang digunakan di seluruh dunia dibekalkan melalui selat itu.

"Amerika Syarikat tidak mahu berperang dengan rejim Iran, tetapi kami sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk bertindak balas terhadap sebarang serangan, sama ada melalui proksi, Kor Pengawal Revolusi Iran atau angkatan tentera Iran," kata Bolton dalam kenyataannya.

Langkah ini adalah yang terbaru oleh pentadbiran Trump yang bertujuan untuk terus menambah tekanan ke atas Iran sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan