Images
  • american troops
    Gambar fail tentera AS berjaga-jaga di lereng bukit di Afghanistan. (Gambar: Thomas Watkins/AFP)

AS kerah askar bagi perkukuh benteng pertahanan Saudi susuli serangan loji minyak

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Jumaat (20 Sep) meluluskan langkah menghantar tentera negara itu untuk memperkukuhkan pertahanan udara Arab Saudi selepas serangan terbesar ke atas kemudahan minyak negara itu, dengan Washington mempersalahkan Iran.

Pentagon menyatakan pengerahan tentera itu akan melibatkan bilangan askar yang sederhana - tidak melebihi sehingga beribu-ribu - dan akan menjadi benteng pertahanan utama.

Reuters sebelum ini melaporkan bahawa Pentagon sedang mempertimbangkan untuk menghantar bateri anti-peluru berpandu, dron dan lebih banyak jet pejuang. Amerika Syarikat juga sedang mempertimbangkan melindungi syarikat penerbangan di rantau itu buat tempoh yang belum ditetapkan.

"Sebagai respons kepada permintaan kerajaan Saudi, presiden meluluskan pengerahan pasukan Amerika yang akan bersifat defensif dan menumpukan perhatian kepada pertahanan udara serta peluru berpandu," kata Setiausaha Pertahanan Mark Esper dalam satu taklimat media.

"Kami juga akan berusaha untuk mempercepatkan penghantaran peralatan ketenteraan ke kerajaan Arab Saudi dan UAE (Amiriah Arab Bersatu) untuk meningkatkan keupayaan mereka mempertahankan diri."

Esper menambah UAE, sekutu rapat yang menjadi tuan rumah pasukan Amerika, juga meminta bantuan. 

- REUTERS/FZ/fz

Top