Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AS kenakan sekatan terhadap syarikat-syarikat peluru berpandu Iran

Amerika Syarikat semalam (4 Jan) mengenakan sekatan ke atas lima syarikat Iran yang didakwa terlibat dalam program peluru berpandu balistik Iran.

Anggaran Waktu Membaca:
AS kenakan sekatan terhadap syarikat-syarikat peluru berpandu Iran

Tunjuk perasaan di Iran. (Gambar: STR / AFP)

Diterbitkan : 05 Jan 2018 11:21AM Dikemas Kini : 05 Jan 2018 11:22AM

WASHINGTON: Amerika Syarikat semalam (4 Jan) mengenakan sekatan ke atas lima syarikat Iran yang didakwa terlibat dalam program peluru berpandu balistik Iran.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat Steven Mnuchin mengaitkan langkah itu kepada bantahan-bantahan antipemerintah baru-baru ini, dan menegaskan bahawa Iran seharusnya menambah perbelanjaan untuk kebajikan rakyat dan bukan senjata-senjata yang diharamkan.

"Sekatan-sekatan ini disasarkan kepada entiti-entiti utama program peluru berpandu balistik Iran, yang diutamakan oleh rejim Iran berbanding kesejahteraan ekonomi rakyat Iran," kata Encik Mnuchin.

"Sedang rakyat Iran merana, pemerintah mereka dan IRGC membiayai militan-militan luar negara, kumpulan pengganas, dan penganiayaan hak asasi manusia," tambah beliau.

"Amerika Syarikat akan terus menentang tindakan jahat rejim, termasuk mengenakan sekatan tambahan yang disasarkan kepada isu penganiayaan hak asasi manusia.

"Kami tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan salah urus ekonomi, dan pemindahan besar sumber bagi sistem-sistem peluru berpandu yang mengancam nyawa rakyat."

Lima syarikat terlibat merupakan anak syarikat Kumpulan Industri Shahid Bakeri (SBIG).

Di bawah sekatan-sekatan itu, sebarang aset milik syarikat-syarikat di Amerika Syarikat akan dibekukan dan rakyat Amerika dilarang menjalankan urus niaga bersama mereka.

Lebih penting lagi, institusi-institusi asing yang menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat berkenaan, akan turut disekat dari sistem kewangan Amerika Syarikat - satu risiko yang tidak diinginkan bank-bank Eropah.

Sebelum ini, Jabatan Negara memberi amaran bahawa para pegawai Iran yang terlibat dalam penangkapan atau pembunuhan para penunjuk perasaan akan ditahan untuk dipertanggungjawabkan.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan dan penangkapan sekurang-kurangnya 1,000 rakyat Iran," kata jurucakap Heather Nauert.

"Kami mempunyai kuasa yang cukup untuk mempertanggungjawabkan mereka yang melakukan keganasan terhadap para penunjuk perasaan, menyumbang kepada penapisan, atau merompak daripada rakyat Iran," katanya.

"Bagi para mangsa rejim, anda tidak akan dilupakan."

Bantahan antipemerintah di Iran tercetus bulan lalu dan sekurang-kurangnya 21 orang maut dalam pertempuran antara para penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan Iran. 

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan