Images
  • usa airport
    Gambar fail sebuah lapangan terbang di Amerika Syarikat (Gambar: AFP)

AS keluarkan amaran 'Jangan Lakukan Perjalanan' ke Jerman, Denmark

WASHINGTON: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat dan Jabatan Negara pada Isnin (22 Nov) menasihatkan rakyat negara itu supaya jangan melakukan perjalanan ke Jerman dan Denmark ekoran peningkatan jumlah kes COVID-19 di kedua-dua negara tersebut.

CDC menaikkan paras amarannya ke "Tahap 4: Sangat Tinggi" terhadap kedua-dua negara Eropah itu, sambil menasihatkan rakyat Amerika supaya mengelakkan perjalanan ke sana, sementara Jabatan Negara pula mengeluarkan amaran "Jangan Lakukan Perjalanan" ke kedua-dua negara.

CDC buat masa ini meletakkan kira-kira 75 destinasi di bawah Tahap 4, dengan banyak negara Eropah dalam senarai tersebut termasuk Austria, Britain, Belgium, Greece, Norway, Switzerland, Romania, Ireland dan Republik Czech.

Canselor Jerman Angela Merkel memberitahu para pemimpin parti konservatif bahawa langkah-langkah yang diambil untuk membendung penularan koronavirus bagi ekonomi terbesar di Eropah itu masih belum memadai dan tindakan lebih tegas perlu diambil, lapor Reuters pada Isnin.

Jumlah kes jangkitan di Jerman terus melonjak, terutamanya dalam kalangan warga tua meskipun sudah mendapat dua suntikan pertama vaksin COVID-19 pada awal tahun ini, dan dalam kalangan kanak-kanak yang tidak layak untuk vaksinasi.

Awal bulan ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menekankan negara-negara Eropah mesti berusaha lebih gigih untuk mencegah koronavirus daripada terus merebak, sedang angka korban dan kes baru terus menjulang.

Kadar penularan semasa di 53 negara Eropah juga "membimbangkan" dan kes baru semakin hampir mencecah paras rekod, diburukkan lagi dengan penularan varian Delta yang lebih mudah berjangkit, Hans Kluge dari WHO memberi amaran. "Kita mesti mengubah taktik kita, daripada bertindak balas terhadap lonjakan COVID-19, kepada menghalangnya daripada berlaku," katanya.

Jerman sudah memutuskan untuk menghadkan sebahagian besar kegiatan awam di kawasan-kawasan di mana hospital penuh sesak dengan pesakit COVID-19.

Negara jiran Austria pada Isnin menguatkuasakan perintah berkurung selepas mengumumkan beberapa sekatan lebih ketat pada minggu lalu. Pemangku Menteri Kesihatan Jerman Jens Spahn memberi amaran pada Jumaat bahawa Jerman mungkin mengorak langkah yang sama.

- Reuters/TQ/tq

Top