Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AS gesa PBB teruskan sekatan ke atas Korea Utara

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo menggesa PBB agar meneruskan sekatan ekonomi yang ketat ke atas Korea Utara dan mengekalkan desakan ke atas Kim Jong Un supaya melucutkan program nuklear Pyongyang.

Anggaran Waktu Membaca:
AS gesa PBB teruskan sekatan ke atas Korea Utara

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 21 Jul 2018 11:19AM Dikemas Kini : 21 Jul 2018 11:24AM

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo menggesa negara-negara anggota PBB agar meneruskan sekatan ekonomi yang ketat ke atas Korea Utara dan mengekalkan desakan ke atas Kim Jong Un supaya melucutkan program nuklear Pyongyang.

"Kita perlu saksikan Pengerusi Kim laksanakan apa yang beliau janjikan kepada dunia," Encik Pompeo memberitau para wartawan selepas perbincangan dengan Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat (20 Jul).

Tambah beliau, Amerika Syarikat percaya Korea Utara boleh merubah kedudukannya sebagai "paria" program nuklear dan senjata, namun "ia memerlukan penguatkuasaan penuh sekatan untuk mencapainya".

Encik Pompeo menghadiri persidangan satu jam dengan majlis tersebut di New York untuk memberi taklimat pertama kepada badan tertinggi PBB itu berkenaan Korea Utara sejak sidang puncak antara Encik Donald Trump dan Encik Kim Jong Un.

China dan Rusia bagaimanapun menekankan bahawa Korea Utara perlu diberi ganjaran dengan sekatan atasnya dilonggarkan kerana kerelaannya berdialog dengan Amerika Syarikat dan menghentikan ujian peluru berpandu.

Namun duta Amerika Syarikat Nikki Haley menegaskan bahawa cara terbaik menyokong usaha diplomasi Amerika Syarikat adalah "dengan tidak meringankan sekatan".

Taklimat Encik Pompeo di New York berlangsung sehari selepas Rusia dan China menangguhkan selama enam bulan permintaan Amerika Syarikat untuk menyekat penghantaran minyak diproses ke Korea Utara.

Encik Trump membuka peluang mengakhiri ketegangan dengan Korea Utara apabila beliau bertemu dengan Encik Kim di Singapura pada 12 Jun. Di pertemuan tersebut Encik Kim bersetuju untuk berusaha ke arah pelucutan nuklear di Semenanjung Korea.

Namun perjanjian Trump-Kim itu tidak mempunyai sebarang perincian. Korea Utara sudah lama mengisytiharkan sasaran pelucutan nuklear tetapi dalam bentuk proses pelucutan pelbagai pihak, bukan sepihak sahaja.

Lebih sebulan selepas sidang puncak Trump-Kim, tiada kemajuan ketara dilaporkan.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan