Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AS gantung semua pelibatan perdagangan dengan Myanmar hingga pemerintah awam dikembalikan

Amerika Syarikat segera menggantung semua pelibatan dengan Myanmar di bawah perjanjian perdagangan dan pelaburan 2013 sehingga pemerintah yang dipilih secara demokratik kembali berkuasa kata wakil perdagangan Amerika Syarikat Katherine Tai pada Isnin (29 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
AS gantung semua pelibatan perdagangan dengan Myanmar hingga pemerintah awam dikembalikan

Penunjuk perasaan berlindung di belakang penghadang di Monywa, wilayah Sagaing, Myanmar pada 29 Mac 2021 (Petikan video: Reuters)

Diterbitkan : 30 Mar 2021 12:24PM Dikemas Kini : 30 Mar 2021 12:43PM

WASHINGTON: Amerika Syarikat segera menggantung semua pelibatan dengan Myanmar di bawah perjanjian perdagangan dan pelaburan 2013 sehingga pemerintah yang dipilih secara demokratik kembali berkuasa kata wakil perdagangan Amerika Syarikat Katherine Tai pada Isnin (29 Mac).

Bantahan pada Sabtu adalah yang paling berdarah di Myanmar sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari, dengan 114 orang terbunuh. Lima lagi terbunuh pada Isnin apabila ribuan orang membanjiri jalan-jalan raya lagi menentang pihak tentera kembali berkuasa selepas sedekad.

Cik Tai berkata dalam satu kenyataan bahawa pembunuhan yang dilakukan pasukan keselamatan Myanmar ke atas para penunjuk perasaan, pelajar, pekerja dan pemimpin buruh serta kanak-kanak yang menyertai bantahan secara aman "mengejutkan hati nurani masyarakat antarabangsa".

Selain menggantung kerja-kerja bagi perjanjian rangka kerja 2013, Cik Tai berkata USTR akan mempertimbangkan situasi Myanmar sedang ia bekerjasama dengan Kongres Amerika Syarikat untuk meluluskan semula program Sistem Umum Pilihan yang mengurangkan tarif Amerika Syarikat dan menyediakan akses perdagangan khas lain bagi beberapa negara membangun.

Penyertaan memerlukan negara-negara untuk mengekalkan perlindungan hak pekerja tertentu, dan Cik Tai berkata laporan bahawa pemimpin tentera Myanmar telah menyasarkan kesatuan sekerja dan para pekerja kerana peranan mereka dalam bantahan pro-demokrasi menimbulkan keprihatinan serius.

"MEMALUKAN, PENGECUT, KEJAM"

Langkah menggantung perjanjian perdagangan Amerika Syarikat berlaku selepas Presiden Joe Biden mengecam peristiwa hujung minggu lalu sebagai "teruk", sementara utusan hak asasi PBB menyelar tindakan pasukan keselamatan sebagai "memalukan, bersifat pengecut, kejam".

Majlis Keselamatan PBB akan bertemu pada Rabu untuk membincangkan keadaan itu, kata sumber-sumber diplomatik, selepas Britain meminta rundingan tergempar diadakan.

China turut menyuarakan keprihatinan antarabangsa yang menyeru semua pihak menahan diri.

Rusia pada Isnin mengakui bahawa pihaknya sedang mengembangkan hubungan dengan Myanmar, selepas timbalan menteri pertahanan Alexander Fomin dan para pegawai lain menyertai perarakan pada hujung minggu, namun menegaskan itu tidak bermaksud bahawa pihaknya menyetujui "peristiwa tragik" yang sedang berlaku.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan