Images
  • iran (3)
    Imejan yang dipetik daripada sebuah video menunjukkan IRGC melucutkan bom yang belum diletupkan daripada bahagian tepi tangki Kokuka Courageous. (Gambar: Tentera Amerika Syarikat/ REUTERS)

AS dedahkan video tentera Iran gugurkan bom magnetik

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat mendedahkan video pada Khamis (13 Jun) yang menurutnya menunjukkan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) melucutkan bom yang belum diletupkan daripada bahagian tepi sebuah kapal tangki minyak milik Jepun. Ini sedang Washington menuduh Iran melakukan serangan-serangan yang menjejas pasaran minyak sejagat.

Pusat Arahan Tentera Amerika Syarikat juga mendedahkan gambar-gambar menunjukkan bom tersebut, yang ditempelkan secara magnetik kepada sisi sebuah kapal, sebelum ia dilucutkan lewat hari itu.

Status rahsia imej sedemikian seringkali sukar untuk dibatalkan dan pendedahannya seakan menunjukkan usaha Amerika Syarikat untuk meyakinkan masyarakat antarabangsa tentang peranan Iran dalam serangan-serangan pada Khamis ke atas kapal tangki minyak Kokuka Courageous dan Front Altair milik Norway.

Tehran menafikan tuduhan itu.

Kedua-dua kapal itu meletup, memaksa anak kapal untuk meninggalkan kapal dan membiarkan ia hanyut di perairan antara negara-negara Teluk Arab dengan Iran.

Jurucakap Arahan Pusat, kapten tentera laut Bill Urban, berkata kapal IRGC dilihat menghampiri kapal tangki milik Jepun itu pada 4.10 petang waktu tempatan.

Sebelum ini, Reuters melaporkan kewujudan video berkenaan.

Harga minyak mentah melonjak lebih 4 peratus menyusuli serangan berhampiran pintu masuk ke Selat Hormuz, laluan perkapalan penting bagi Arab Saudi dan para pengeluar tenaga Teluk lainnya.

Harga minyak kemudian ditutup kira-kira 2 peratus lebih tinggi. 

- REUTERS/FZ/fz

Top