Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AS beri amaran 'pengganas' masih atur serangan terhadap Sri Lanka

Jabatan Negara Amerika Syarikat melalui nasihat perjalanannya memberi amaran bahawa "kumpulan-kumpulan pengganas" masih terus merancang serangan ke atas Sri Lanka selepas 290 orang terbunuh dan kira-kira 500 yang cedera dalam serangan-serangan pada Ahad (21 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
AS beri amaran 'pengganas' masih atur serangan terhadap Sri Lanka

Kerosakan di sebuah gereja di Sri Lanka akibat serangan letupan (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 22 Apr 2019 04:52PM Dikemas Kini : 22 Apr 2019 04:54PM

WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat melalui nasihat perjalanannya memberi amaran bahawa "kumpulan-kumpulan pengganas" masih terus merancang serangan ke atas Sri Lanka selepas 290 orang terbunuh dan kira-kira 500 yang cedera dalam serangan-serangan yang disasarkan terhadap beberaoa gereja dan hotel mewah pada Ahad (21 Apr).

"Pengganas boleh menyerang pada bila-bila saja tanpa sebarang amaran," menurut makluman baru yang dikeluarkan pada Ahad (waktu tempatan).

Menurut makluman itu, tempat-tempat yang menjadi sasaran termasuk daya tarikan pelancong, hab pengangkutan, pusat beli-belah, hotel, tempat ibadat, lapangan terbang dan tempat-tempat awam yang lain.

Sejauh ini, belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan terhadap dua gereja dan empat hotel di ibu kota Colombo dan kawasan-kawasan di sekelilingnya, yang sebahagian besar penduduknya adalah penganut agama Buddha.

PEMERINTAH DIBERI AMARAN

Sebilangan rakyat Sri Lanka turut tertanya-tanya bagaimana serangan itu boleh berlaku selepas mendapat tahu bahawa pemerintah negara itu sudah diberi amaran lebih awal tentang serangan-serangan tersebut.

Ketua Polis Sri Lanka Pujuth Jayasundara mengeluarkan amaran itu kepada para pegawai kanan pada 11 April yang memberi amaran bahawa para pengebom nekad dari sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Thowheeth Jama'ath Nasional (NTJ) yang merancang untuk menyerang "gereja-gereja terkenal".

NTJ adalah sebuah kumpulan radikal di Sri Lanka yang dikaitkan dengan kerosakan patung-patung Buddha pada tahun lalu.

Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe mengakui pada Ahad bahawa pemerintah mempunyai maklumat tentang kemungkinan berlakunya serangan terhadap gereja-gereja melibatkan kumpulan tegar yang kurang dikenali dan para menteri dipercayai tidak diberitahu mengenai maklumat tersebut.

Beliau menambah bahawa siasatan yang dijalankan akan meneliti "mengapa langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya tidak diambil".

Pihak berkuasa juga akan menyiasat sama ada para penyerang mempunyai "kaitan luar negara".

PENGAWAL BERSENJATA

Perintah berkurung merata negara yang dikuatkuasakan pemerintah ditarik balik pada awal Isnin, meskipun keadaan lalu lintas yang biasanya sesak kini sunyi sepi. Selain mengisytiharkan cuti umum selama dua hari, pemerintah turut mengarahkan agar sekolah-sekolah serta bursa saham Colombo ditutup.

Para askar yang bersenjatakan senapang automatik juga dikerahkan untuk mengawal hotel-hotel utama dan Pusat Perdagangan Dunia di kawasan perniagaan, di mana empat hotel menjadi sasaran serangan nekad semalam, menurut Reuters.

Orang ramai yang terkandas di malam hari di lapangan terbang utama Sr Lanka juga sudah mula pulang ke rumah setelah perintah berkurung itu ditarik balik.

Pemerintah juga menyekat akses kepada media sosial dan khidmat pesanan, termasuk Facebook dan WhatsApp, menjadikannya sulit untuk dikumpulkan.

Serangan pada Ahad adalah yang paling dahsyat pernah dilancarkan terhadap penganut Kristian di Sri Lanka, yang hanya membentuk tujuh peratus daripada 21 juta penduduknya.

Sekurang-kurangnya 37 warga asing terkorban, menurut kementerian luar negara itu.

Pemerintah Sri Lanka turut mendedahkan bahawa tiga warga India, tiga rakyat Britain, dua dari Turki dan seorang warga Portugal maut dan lagi dua orang yang memegang pasport Britain dan Amerika Syarikat.

"Selain itu, sembilan warga asing masih dilaporkan hilang dan identiti 25 mayat masih belum dikenal pasti, yang dipercayai adalah warga asing," menurut kementerian itu lagi.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan