Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Arahan Polis Thai risik pelajar Islam cetuskan kemarahan

Sebuah kumpulan pelajar Muslim Thai pada Rabu (18 Sep) menggesa polis supaya menggugurkan arahan yang meminta pihak universiti menyerahkan "maklumat risikan" mengenai pelajar Muslim dan kegiatan mereka di negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha.

Anggaran Waktu Membaca:
Arahan Polis Thai risik pelajar Islam cetuskan kemarahan

Para pelajar Muslim di Thailand (Gambar: AFP/Mahdaree Tohlala)

Diterbitkan : 18 Sep 2019 11:21PM Dikemas Kini : 18 Sep 2019 11:29PM

BANGKOK: Sebuah kumpulan pelajar Muslim Thai pada Rabu (18 Sep) menggesa polis supaya menggugurkan arahan yang meminta pihak universiti menyerahkan "maklumat risikan" mengenai pelajar Muslim dan kegiatan mereka di negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha.

Umat Islam membentuk kumpulan agama kedua terbesar di Thailand, dengan kebanyakan daripada mereka menetap di tiga wilayah di bahagian selatan negara itu. Wilayah-wilayah tersebut dilanda konflik antara kumpulan pemisah Melayu-Islam dengan pihak berkuasa Thai sejak 2004.

Kumpulan-kumpulan hak asasi sudah lama menuduh kerajaan Thai bertindak keras terhadap masyarakat majoriti Melayu-Islam di wilayah-wilayah itu, yang kini di bawah pemerintahan tentera.

Minggu lalu, Biro Cawangan Khas mengeluarkan arahan seluruh negara yang mengarahkan universiti-universiti menyerahkan "maklumat risikan" berhubung pelajar Muslim dan kegiatan mereka di sekolah, menurut jurucakap polis Krissana Pattanacharoean kepada AFP pada Selasa, sambil merujuk kepada keprihatinan terhadap "keselamatan".

Berita tersebut menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat dan Persekutuan Pelajar Islam Thailand pada Rabu menyeru parlimen negara itu supaya "membatalkan" permintaan polis.

Arahan Jabatan Khas "adalah satu bentuk diskriminasi yang melanggar perlembagaan," kata presidennya Ashraf Awae, di luar parlimen.

"Tuduhan tidak berasas ... boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan pelajar Islam dan yang lain dalam universiti dan masyarakat," kata beliau.

Beliau menambah persekutuan itu sudah dimaklumkan tentang pihak polis meminta maklumat berhubung kumpulan-kumpulan pelajar Islam dari sekurang-kurangnya tiga universiti utama.

Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha pada Selasa mempertahankan Jabatan Khas dan menafikan bahawa "pangkalan data" itu merupakan satu pencabulan terhadap hak asasi rakyat.

"Kita tidak boleh memberkas sesiapa jika mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan," kata beliau kepada para wartawan.

Sokongan Encik Prayut menunjukkan "trend membimbangkan mengenai peningkatan Islamofobia di Thailand" kata Sunai Phasuk dari badan hak asasi Human Rights Watch.

"Ini adalah diskriminasi yang disokong kerajaan," menurut beliau kepada AFP, sambil menambah bahawa perlembagaan Thai secara khusus melarang sebarang bentuk perkauman terhadap kumpulan-kumpulan agama dan etnik yang berbeza.

"Ia boleh mencetuskan radikalisme di selatan dan memburukkan konflik," tambah Encik Sunai lagi.

Encik Prayut, seorang mantan jeneral, menerajui rampasan kuasa tentera pada 2014 dan memimpin rejim junta selama lima tahun sebelum dilantik sebagai seorang perdana menteri pada Mac.

Di bawah kepimpinan Encik Prayut sebagai ketua junta, polis sudah menangkap sekurang-kurangnya 50 Muslim, kebanyakannya mahasiswa universiti dalam satu operasi pada October 2016 yang menurut pihak berkuasa penting untuk mematahkan pakatan untuk melancarkan serangan bom kereta.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan