Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Arab Saudi umumkan perlindungan insurans untuk semua jemaah luar negara

Menteri Haji dan Umrah Mohammad Saleh bin Taher Benten serta Pengerusi Tawuniya Sulaiman Al-Humaid menandatangani satu perjanjian pada Rabu (11 Dis) untuk menyediakan insurans kepada para jemaah yang datang dari luar Arab Saudi.

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi umumkan perlindungan insurans untuk semua jemaah luar negara

Gambar fail para jemaah haji berwukuf di Arafah. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 12 Dec 2019 11:40PM Dikemas Kini : 12 Dec 2019 11:42PM

JEDDAH: Menteri Haji dan Umrah Mohammad Saleh bin Taher Benten serta Pengerusi Tawuniya Sulaiman Al-Humaid menandatangani satu perjanjian pada Rabu (11 Dis) untuk menyediakan insurans kepada para jemaah yang datang dari luar Arab Saudi.

Pemeteraian itu berlangsung di ibu pejabat Kementerian Haji dan Umrah di Makkah, menurut Arab News. Sebagai sebahagian perjanjian tersebut, kementerian berkenaan akan menyediakan khidmat kesihatan dan insurans lain kepada golongan jemaah dari sewaktu mereka tiba di tanah suci sehingga berangkat pulang semula ke tanah air.

Ketua penyelia pusat media kementerian, Encik Ayman Al-Arfaj, berkata insurans itu akan berharga SR189 (S$68) setiap seorang yang akan dibayar kepada syarikat insurans dan akan memberi perlindungan selama 30 hari iaitu tempoh keseluruhan seseorang jemaah berada di Arab Saudi.

Beliau menambah bahawa insurans tersebut akan disatukan bagi kesemua jemaah dan bakal meliputi kes-kes kecemasan, kemalangan serta penghantaran pulang jenazah jemaah yang meninggal dunia di Arab Saudi. Jemaah akan mendapat perlindungan insurans secara automatik sebaik sahaja visa dikeluarkan.

INSURANS DIKAITKAN KEPADA VISA KE SAUDI

Skim insurans tersebut sebahagian daripada rancangan perubahan Visi 2030 yang menyasarkan untuk meningkatkan pengalaman para jemaah, kata Menteri Benten.

Beliau menambah Tawuniya dimanfaatkan oleh Kementerian Haji dan Umrah dengan perundingan bersama Penguasa Kewangan Arab Saudi (SAMA) serta Majlis Insurans Kesihatan.

Insurans itu akan dikaitkan kepada visa perjalanan sejurus selepas jemaah tiba di Arab Saudi, kata Encik Mohammad Saleh. Satu talian panggilan juga bakal dibuka dan para jemaah akan dilayani oleh pasukan-pasukan yang boleh bertutur dalam pelbagai bahasa.

Arab News menukil Al-Arfaj sebagai berkata bahawa jemaah yang memerlukan bantuan kesihatan boleh mendapatkan manfaat insurans tersebut dengan menyerahkan pasport mereka di mana-mana hospital atau klinik di bawah Kementerian Kesihatan Saudi mahupun mana-mana hospital serta klinik swasta yang diiktiraf oleh Majlis Insurans Kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tawuniya, Abdulaziz bin Hadsan Al-Bouq - syarikat yang dianugerahi kontrak tersebut untuk empat tahun - berkata Arab Saudi sedang membangunkan kaedah inovatif untuk menyediakan khidmat kesihatan dan mengurangkan nahas di tapak-tapak tanah suci.

Projek tersebut, tambah beliau, disokong oleh Kementerian Haji dan Umrah dengan setiap insurans menyediakan perlindungan berjumlah SR100,000 (S$36,180) setiap seorang.

Sejak bermulanya musim Umrah pada Oktober lalu, hampir 1,518,700 jemaah sudah menjejakkan kaki di Tanah Suci di Arab Saudi.  

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan