Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Arab Saudi pasti bina senjata nuklear "secepat mungkin" jika Iran milikinya, isytihar Putera Mahkota MBS

Arab Saudi akan membina senjata-senjata nuklear jika musuh ketatnya, Iran, mempunyai senjata nuklear.

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi pasti bina senjata nuklear "secepat mungkin" jika Iran milikinya, isytihar Putera Mahkota MBS

Putera Mohammed bin Salman. (Gambar fail: REUTERS)

Diterbitkan : 15 Mar 2018 11:16PM Dikemas Kini : 15 Mar 2018 11:20PM

RIYADH: Arab Saudi akan membina senjata-senjata nuklear jika musuh ketatnya, Iran, mempunyai senjata nuklear. Demikian isytihar Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang didedahkan hari ini.

Komen tersebut meningkatkan prospek berlakunya perlumbaan senjata nuklear di rantau Timur Tengah, yang sudahpun diselubungi pelbagai konflik.

"Arab Saudi tidak mahu memiliki sebarang bom nuklear. Tetapi tidak ragu-ragu bahawa jika Iran membina bom nuklear, kami akan menyusul secepat mungkin," kata Putera Mohammed bin Salman kepada CBS, dalam satu wawancara yang akan disiarkan sepenuhnya Ahad ini (18 Mac).

Riyadh sememangnya sudah bertikai dengan Tehran sejak berdekad-dekad lamanya. Kedua-dua negara juga terlibat dalam perang proksi yang cukup panjang di Timur Tengah dan ia melimpah ke rantau-rantau lain. Contohnya konflik dan krisis politik di Iraq, Syria, Lubnan dan Yaman disebut sebagai perang proksi antara Iran dengan Saudi.

SAUDI-IRAN SALING ANCAM SERANG SATU SAMA LAIN

Putera Mohammed yang juga merupakan Menteri Pertahanan Arab Saudi tahun lalu menyatakan bahawa kerajaannya akan memastikan bahawa sebarang pergelutan antara kedua-dua negara "akan diperangi di Iran". Ini menyebabkan Tehran mengancam akan menyerang kembali kebanyakan kawasan Arab Saudi kecuali kota suci Makkah dan Madinah.

Riyadh antara lain mengkritik perjanjian nuklear 2015 antara negara-negara kuasa dunia dengan Tehran, yang menyaksikan sekatan ekonomi ke atas Iran ditarik balik. Iran pula perlu menyekat program tenaga nuklearnya.

Komen-komen Putera Mahkota berusia 32 tahun itu mengenai kemungkinan Arab Saudi membina senjata nuklear juga mempunyai implikasi terhadap Israel, sebuah negara sekutu Amerika Syarikat. Israel sejauh ini tidak pernah mengesahkan atau menafikan bahawa ia menjadi satu-satunya negara Timur Tengah yang mempunyai senjata nuklear.

Israel sebelum ini sudahpun menyuarakan pendirian bahawa jika Iran membina senjata-senjata nuklear, ia akan menyebabkan projek membina senjata nuklear juga dijalankan oleh musuh-musuhnya di Timur Tengah dan akan terus menjadikan rantau itu tidak stabil.

HAKIKATNYA, ARAB SAUDI SEDANG BINA TENAGA NUKLEAR

Yang pasti, Arab Saudi kini meningkatkan rancangan untuk membina keupayaan tenaga nuklear awam, sebagai sebahagian daripada pelan reformasi yang dipimpin Putera Mahkotanya bagi mengurangkan pergantungannya kepada minyak.

Riyadh, yang kini negara pengeksport minyak terbesar dunia, sebelum ini menyatakan bahawa ia mahukan teknologi tenaga nuklear bagi tujuan-tujuan aman. Bagaimanapun negara itu tidak menyatakan dengan pasti sama ada ia juga mahu memperkaya bahan uranium bagi menghasilkan tenaga nuklear. Proses tersebut akan membolehkannya menggunakan uranium tersebut untuk menghasilkan senjata nuklear.

Amerika Syarikat, Korea Selatan, Rusia, Perancis dan China kini cuba mendapatkan kontrak berbilion dolar untuk membina dua reaktor nuklear pertama Arab Saudi.

Dalam rundingan-rundingan sebelum ini, Riyadh enggan menandatangani sebarang perjanjian yang menghalangnya untuk kemungkinan memperkaya bahan uranium.

Kelmarin (13 Mac), negara tersebut meluluskan dasar kebangsaan bagi program tenaga atom, termasuk mengehadkan semua kegiatan nuklearnya kepada kegunaan-kegunaan aman, dalam rangka perjanjian-perjanjian antarabangsa.

Sumber : Reuters/DY/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan