Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Arab Saudi mula merekrut wanita ke dalam tentera

Kaum wanita di Arab Saudi kini sudah boleh berkhidmat dengan angkatan bersenjata di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi mula merekrut wanita ke dalam tentera

Gambar hiasan menunjukkan wanita Arab Saudi menggunakan telefon (Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 21 Feb 2021 11:05PM Dikemas Kini : 21 Feb 2021 11:06PM

JEDDAH: Kaum wanita di Arab Saudi kini sudah boleh berkhidmat dengan angkatan bersenjata di negara itu.

Ini menyusuli pengumuman Kementerian Pertahanan Saudi yang membuka pintu bagi kedua-dua jantina - lelaki dan wanita - untuk mendaftarkan diri menerusi satu portal kemasukan bersama mulai Ahad (21 Feb), lapor Arab News.

Pangkat dalam tentera dari askar hingga ke sarjan ditawarkan dalam pasukan Tentera Arab Saudi, Pertahanan Udara Diraja Saudi, Angkatan Tentera Laut Diraja Saudi, Pasukan Peluru Berpandu Strategik Diraja Saudi dan Khidmat Perubatan Pasukan Angkatan Bersenjata.

Semua pemohon harus lulus prosedur kemasukan berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan, dengan rekod bersih serta sihat untuk berkhidmat.

Sekalipun demikian, kriteria tambahan dikenakan bagi pada pemohon wanita, menurut laporan Arab News.

Pemohon wanita harus berusia antara 21 dengan 40 tahun, dengan ketinggian tidak kurang dari 155 sentimeter dan bukan kakitangan kerajaan.

Pemohon wanita juga harus memegang kad pengenalan nasional bebas dan mempunyai sekurang-kurangnya pendidikan sekolah menengah. Mereka yang berkahwin dengan lelaki bukan rakyat Saudi tidak akan diterima.

Lingkungan usia bagi pemohon lelaki kali pertama adalah antara 17 dengan 40 tahun dengan ketinggiannya hendaklah tidak kurang 160 sentimeter.

Perbezaan standard merekrut anggota wanita dan lelaki itu mencetuskan reaksi berbeza-beza, lapor Arab News.

Pakar sistem operasi, Halal Al-Ynabawi, berkata negara-negara Arab membenarkan wanita menyertai tentera sudah menjadi topik kontroversi sejak 30 tahun lalu.

"Namun hari ini, dengan visi Raja Salman, beliau memainkan peranan besar membenarkan kaum wanita dalam semua bidang - kerajaan dan kini tentera," kata beliau kepada Arab News.

"Pandangan saya secara peribadi, amat penting bagi wanita menyertai pasukan tentera, di mana mereka boleh memainkan peranan aktif dalam masyarakat konservatif ini," kata Rahma Al-Khayri, seorang pakar IT.

"Sepanjang sejarah, kita tidak pernah mendengar tentang wanita yang keluar bertempur," kata beliau.

"Kita sering mendengar tentang wanita merawat orang lain atau mungkin mengawasi bekalan dalam pentadbiran dan unit-unit kawalan. Lelaki sahaja (sebelum ini) yang keluar untuk berperang." 

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan