Images
  • aerial makkah
    (Gambar fail: AFP)

Arab Saudi dilanda cuaca luar biasa

JEDDAH: Para ketua kesihatan Arab Saudi mengeluarkan amaran pada Isnin (7 Okt) di tengah-tengah keadaan cuaca luar biasa di wilayah barat negara itu.

Ribut pasir melanda Jeddah manakala Makkah, yang terletak 70 kilometer dari Jeddah, mengalami hujan lebat dan hujan batu, menurut laporan Arab News.

Menurut laman itu lagi, ketua-ketua meteorologi sebelum ini meramalkan hujan lebat berserta guruh di Jeddah, tetapi pada pukul 6.15 petang, mereka mengeluarkan amaran bahawa pasir dan debu akan menjejas jarak penglihatan dengan ketara.


Penguasa pertubuhan Bulan Sabit Merah Arab Saudi menggesa para pemandu dan penduduk untuk berjaga-jaga, dan seorang jurucakap Encik Abdullah Abu Zaid, berkata bahawa para individu dengan masalah atau penyakit pernafasan sepatutnya mengelak daripada keluar dari rumah.

"Para pemandu di jalan raya bandar perlu berhati-hati kerana jarak penglihatan amat teruk. Saya juga ingin menggesa semua penduduk untuk menelefon kami di 977 sekiranya terdapat sebarang masalah kesihatan," menurutnya sebagaimana ditukil Arab News.

Jabatan Kesihatan Awam Jeddah memuat naik pesanan kesihatan di Twitter termasuk arahan-arahan berhubung langkah-langkah perlindungan daripada debu, seperti memakai pelitup muka, menutup rapat pintu dan mengelakkan daripada terdedah kepada debu. 

- Agensi berita/NA/na

Top