Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Apakah akhirnya nasib Brexit? Ini 4 senario berbeza yang boleh berlaku...

Masa semakin suntuk dan pilihan semakin terbatas bagi Perdana Menteri Britain Theresa May setelah para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) menolak percubaan beliau untuk mengolah perjanjian Brexit beliau capai dengan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Apakah akhirnya nasib Brexit? Ini 4 senario berbeza yang boleh berlaku...

(Gambar: AFP/Daniel LEAL-OLIVAS)

Diterbitkan : 18 Dec 2018 12:48AM Dikemas Kini : 18 Dec 2018 12:51AM

LONDON: Masa semakin suntuk dan pilihan semakin terbatas bagi Perdana Menteri Britain Theresa May setelah para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) menolak percubaan beliau untuk mengolah perjanjian Brexit beliau capai dengan mereka.

Ini empat senario utama yang mungkin dihadapi Britain, sedang ia terus menghampiri tarikh akhir 29 Mac 2019 - hari di mana negara itu dijadual berpisah dengan EU selepas 46 tahun.

1. PERJANJIAN DICAPAI

Inilah Brexit yang diingini pemerintah Britain dan pemimpin EU - namun sesuatu yang enggan diterima parlimen Britain. Perjanjian Brexit ditolak pelbagai pihak di parlimen sama ada atas alasan ia mengikat Britain terlalu dekat dengan EU, ataupun sebaliknya.

Cik May batalkan undian berhubung Brexit minggu lalu kerana pasti perjanjian itu akan ditolak. Para penyokong Brexit dalam partinya sendiri cuba mengambil alih kuasa namun undian yang dijalankan tidak berjaya menyingkir Cik May.

Beliau juga berjanji untuk mendapatkan konsesi dari Brussels namun gagal di satu sidang puncak minggu lalu.

Kerajaan Cik May bercadang untuk mengadakan undian parlimen bagi lakaran perjanjian Brexit yang sama tahun hadapan antara 7 hingga 21 Januari. Diharapkan kebimbangan berhubung kegagalan Brexit akan memaksa para penggubal undang-undang untuk mengetepikan ketidakpuasan masing-masing.

2. BREXIT TIDAK MENJADI

Ini dianggap situasi paling buruk dan dijangka mencetuskan kemelesetan ekonomi di Britain dan menghambat pertumbuhan ekonomi EU dengan ketara.

Ini adalah satu-satunya pilihan jika parlimen Britain mengundi menentang perjanjian Brexit dan huraian lain tidak dapat dicapai. Perjanjian yang dicapai Cik May sepatutnya mengekalkan undang-undang perdagangan antara Britain dan EU bagi tempoh peralihan sehingga hujung 2020.

Sebarang perubahan yang mendadak pasti menjejas hampir setiap sektor ekonomi - berkemungkinan juga mengakibatkan harga barangan seharian di Britain menjulang.

Kebelakangan ini, kedua-dua pihak terpaksa menggiatkan persiapan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya Brexit yang kacau bilau. Para peniaga di UK misalnya mula menambah stok barangan manakala Brussles pula mencari jalan mengekalkan operasi tidak terganggu berhubung hab khidmat kewangan yang besar di London.

3. PUNGUTAN SUARA KEDUA

Para penyokong EU menggesa agar referendum atau pungutan suara kedua dijalankan, setelah pungutan suara pertama menghasilkan keputusan 'Berpisah' dengan jurang undian 52-48 pada Jun 2016.

Tiada undang-undang yang menghalang Britain daripada mengadakan pungutan suara sekali lagi, namun ramai yang mempersoalkan sama ada langkah ini bersifat demokratik dan mengapa keputusan pungutan suara kedua patut diterima dan bukan yang pertama.

Ia juga mengancam untuk memecah-belahkan negara sama seperti pungutan suara yang pertama.

4. PARLIMEN UNDI PILIHAN-PILIHAN YANG ADA

Satu lagi kemungkinan yang diutarakan baru-baru ini adalah agar beberapa undian tidak mengikat diadakan di parlimen berhubung beberapa pilihan Brexit, demi menentukan strategi kerajaan.

Undian pertama adalah berkenaan perjanjian yang diusulkan Cik May, manakala yang lain adalah bagi kemungkinan Brexit tidak menjadi, mengadakan referendum kedua, ataupun mengadakan "perjanjian Norway". Perjanjian terakhir ini mengekalkan Britain lebih rapat dengan EU dan membenarkan imigrasi tanpa batasan.

Pada Isnin (17 Dis) Setiausaha Perniagaan Greg Clark seolah-olah membayangkan kemungkinan ini dengan memberitahu radio BBC bahawa parlimen patut "dijemput untuk menyatakan apa yang dipersetujuinya" jika ia mengundi untuk tidak menyokong perjanjian Brexit yang sudah dibentangkan.

Beberapa menteri kabinet lain termasuk Menteri Kewangan Philip Hammond dilaporkan menyokong huraian ini sebagai satu cara demokratik untuk mengakhiri ketidak-tentuan yang berlaku sekarang.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan