Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Apa kata Imam Masjidil Haram tentang khutbah Bahasa Melayu di Makkah, peranan wanita dan berita palsu?

Tiga editor kanan dari Malaysia berkesempatan berada di empat kota Arab Saudi baru-baru ini untuk meninjau perkembangan yang sedang berlaku di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Apa kata Imam Masjidil Haram tentang khutbah Bahasa Melayu di Makkah, peranan wanita dan berita palsu?

(Gambar: Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais/ Facebook)

Diterbitkan : 01 Apr 2018 04:22PM Dikemas Kini : 01 Apr 2018 04:29PM

MAKKAH: Tiga editor kanan dari Malaysia berkesempatan berada di empat kota Arab Saudi baru-baru ini untuk meninjau perkembangan yang sedang berlaku di negara itu.

Ketika di Makkah, mereka berpeluang bertemu Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Abdul Rahman Abdul Aziz Al-Sudais di pejabat beliau yang terletak tidak jauh dari Masjidil Haram.

Walaupun jadualnya padat ketika itu, Sheikh Sudais sempat berbicara mengenai beberapa topik yang dibangkitkan oleh editor-editor itu. Berikut antara topik yang diketengahkan Sheikh Sudais semasa pertemuan itu:

KHUTBAH BAHASA MELAYU

Penjaga Dua Kota Suci bersetuju untuk melaksanakan projek terjemahan khutbah Jumaat di Makkah, Madinah dan khutbah di Padang Arafah (Musim Haji) ke dalam bahasa Melayu.

Orang ramai menunaikan solat di Masjid Nabawi, di Madinah. (Gambar: AFP/MAHMUD HAMS)

Bahasa Melayu salah satu daripada 10 bahasa dalam projek terjemahan ini.

Pelaksanaan projek ini dilihat penting bagi masyarakat Asia Tenggara dan dengan memasukkan bahasa Melayu ke dalam projek ini akan memberi manfaat kepada mereka.

TANGKIS DAKWAAN INGIN ANTARABANGSAKAN HARAMAIN

Projek peluasan dan pemulihan di Haramian sekali gus menolak dakwaan pihak tertentu yang cuba menimbulkan keraguan terhadap tanggungjawab Arab Saudi menjaga dua kota suci Islam hingga mencadangkan langkah mengantarabangsakan Haramain. 

Perkara ini membuka ruang kepada timbulnya pelbagai berita tidak benar dan menjejaskan kewibawaan serta komitmen Arab Saudi melaksanakan tanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan terbaik di dua kota suci itu.

GENERASI MUDA

Soalan ini sangat penting dan mesej untuk pemuda pemudi adalah pentingnya mereka memahami Islam sebenar dan membezakan antara fahaman pelampau dan kesederhanaan di zaman moden hari ini.

Cabaran besar bagi pemuda pemudi hari ini ialah kebanyakan mereka tenggelam daripada memahami mesej Islam sebenar.

Mereka perlu menggunakan ilmu dalam menghadapi cabaran nafsu dan syubhah. Mereka perlu bangga dengan Islam dan sentiasa menunjukkan imej dan semangat Islam dalam pelbagai bidang.

BERITA PALSU

Islam mengajar kita cara-cara menerima satu berita melalui Al-Quran dan Sunnah. Malah, Islam mengajar kita menghadapi berita palsu sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W.

Gambar hiasan. (Gambar: REUTERS/Kacper Pempel/Illustration/File Photo)

Firman Allah Taala dalam Surah al-Hujurat ayat ke- 6: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Surah al Nur ayat 12: “Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".

Surah al-Nur ayat 16: Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah daripada mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan".

Sabda Rasullah s.a.w: “Sudah cukup pembohongan berlaku sekiranya seseorang itu hanya bercerita dengan apa yang didengarinya sahaja.”

PERANAN WANITA

Kaum wanita mempunyai darjat dalam Islam dan ia memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling berlandaskan syariat Islam.

(Gambar: REUTERS/Faisal Al Nasser).

Pandangan tertutup terhadap kaum wanita adalah pandangan tidak baik. Selain itu juga, pandangan yang sangat terbuka dan tidak berdasarkan Islam dengan meninggalkan hijab, kemuliaan dan malu kaum wanita, juga tidak tepat dalam Islam. Yang mereka perlu ada dalam diri adalah dengan mengekalkan kesederhanaan.

PROJEK PELUASAN MASJIDIL HARAM

Fasa ketiga bagi projek peluasan Masjidil Haram sudah hampir untuk menerima para tetamu Allah menjelang Ramadan tahun ini yang mampu menampung tambahan 1.6 juta orang.

Masjidil Haram, Makkah. (Gambar: AMER HILABI / AFP)

Dalam pada itu, projek pemulihan telaga Zam Zam sudah selesai manakala kawasan tawaf baru di Masjdil Haram dibuka untuk menampung 107,000 orang pada setiap jam.

JEMAAH HAJI M'SIA

Keistimewaan yang dimilliki jemaah haji Malaysia ialah mereka sangat teratur kerana urusan penyelarasan yang sempurna. Kami ingin memuji contoh baik yang ditunjukkan jemaah Malaysia dalam menjaga adab-adab di Haramain dan sentiasa mematuhi peraturan tempat suci itu. 

Terima kasih juga atas sambutan baik daripada Malaysia terhadap Imam-Imam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dalam lawatan mereka ke Malaysia. 

Nota:

Sheikh Abdul Rahman Abdul Aziz Al-Sudais, 58, ialah Imam Besar Masjidil Haram di Makkah. Beliau juga merupakan Presiden bagi Hal Ehwal Dua Masjid Suci.  

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan