Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AP Kanada anggap tindakan terhadap Uighur sebagai 'pembunuhan beramai-ramai'

Para Anggota Parlimen (AP) Kanada meluluskan usul tidak mengikat pada Isnin (22 Feb) yang menyelar cara China memperlakukan masyarakat minoriti Uighur sebagai "pembunuhan beramai-ramai" dan menggesa pemerintah pimpinan Perdana Menteri Justin Trudeau supaya melabelkannya sedemikian secara rasmi.

Anggaran Waktu Membaca:
AP Kanada anggap tindakan terhadap Uighur sebagai 'pembunuhan beramai-ramai'

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 23 Feb 2021 12:48PM Dikemas Kini : 23 Feb 2021 12:58PM

OTTAWA: Para Anggota Parlimen (AP) Kanada meluluskan usul tidak mengikat pada Isnin (22 Feb) yang menyelar cara China memperlakukan masyarakat minoriti Uighur sebagai "pembunuhan beramai-ramai" dan menggesa pemerintah pimpinan Perdana Menteri Justin Trudeau supaya melabelkannya sedemikian secara rasmi.

Usul itu, yang dibentangkan oleh para anggota pembangkang Konservatif, diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat dengan 266 daripada 338 undi menyokong usulan tersebut. Para AP yang lain, termasuk sebilangan menteri dari Parti Liberal pimpinan PM Trudeau, mengecualikan diri daripada pengundian itu.

Usul itu mendakwa "(masyarakat) Uighur di China telah dan sedang dibunuh secara beramai-ramai".

Para AP turut merujuk kepada laporan-laporan mengenai "indoktrinasi politik dan anti-agama", "buruh paksa" dan "pemusnahan tapak budaya" - antara kekejaman lain - yang dialami oleh kaum minoriti Muslim di Xinjiang.

Pindaan juga diusulkan bagi menyeru agar Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 dipindahkan jika "pembunuhan beramai-ramai" masih berleluasa.

Menurut para pakar asing, lebih 1 juta orang Uighur ditahan di kem pendidikan semula politik. Beijing bagaimanapun telah menyangkal dakwaan tersebut sambil menegaskan bahawa kemudahan berkenaan adalah pusat latihan kejuruan yang dibina untuk menghindarkan Uighur daripada pengganasan dan fahaman yang memecahbelahkan selepas kaum minoriti itu dituduh bertanggungjawab atas serangan-serangan yang berlaku di China.

"Sekarang Konservatif menggesa pemerintah Liberal supaya menghormati Parlimen dan secara rasmi mengiktiraf bahawa apa yang berlaku di China adalah pembunuhan secara beramai-ramai," kata pemimpin pembangkang Erin O'Toole, yang sejak berbulan-bulan menggesa Ottawa supaya mengambil pendirian lebih tegas terhadap Beijing.

"Pemerintah Kanada memandang serius terhadap sebarang tuduhan melakukan pembunuhan beramai-ramai," kata Menteri Luar Marc Garneau dalam kenyataannya, sambil menegaskan bahawa Kanada menyokong pendekatan bersama dengan sekutu-sekutunya dalam isu ini.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan