Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anwar selesai beri keterangan polis; nafi pernah sebut nama mana-mana Ahli Parlimen

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim selesai memberi keterangan di Bukit Aman di sini, berhubung siasatan kes penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau untuk membentuk kerajaan baru.

Anggaran Waktu Membaca:
Anwar selesai beri keterangan polis; nafi pernah sebut nama mana-mana Ahli Parlimen

Gambar fail Encik Anwar Ibrahim. (Gambar: REUTERS/Lim Huey Teng)

Diterbitkan : 16 Oct 2020 10:23PM Dikemas Kini : 16 Oct 2020 10:24PM

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim selesai memberi keterangan di Bukit Aman di sini, berhubung siasatan kes penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau untuk membentuk kerajaan baru.

Encik Anwar yang ditemani Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh meninggalkan Bukit Aman kira-kira 5 petang tadi.

Terdahulu, beliau tiba di Bukit Aman mengikut pintu belakang (pintu B) untuk diambil keterangan berhubung siasatan kes tersebut.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi Bernama mengesahkan Encik Anwar tiba kira-kira 3 petang tadi.

Sementara itu, semasa diminta mengulas mengenai penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen itu, Encik Anwar menafikan pernah menyebut nama mana-mana Ahli Parlimen.

"Saya tidak sebut nama mana-mana Ahli Parlimen, jangan salah tafsir. Kalau anda tengok balik kenyataan saya hanya memberi surat dan dokumen-dokumen pada Yang di-Pertuan Agong dan saya tidak pernah sebut nama atau menyenaraikan nama mereka,” katanya ditemui pemberita selepas memberi keterangan, di sini.

Ditanya sama ada beliau telah menyerahkan nama-nama Ahli Parlimen kepada Agong, Encik Anwar berkata setakat ini perkara itu belum berbangkit dan sedang diuruskan pada masa akan datang.

Semalam, Bernama melaporkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sebelum ini, media melaporkan Encik Anwar dijadual memberi keterangan di Bukit Aman pada 13 Okt namun ditangguh ke tarikh lain.

Pada Selasa lepas, Ahli Parlimen Port Dickson itu menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bagi menyampaikan pernyataan yang beliau mempunyai majoriti di Parlimen untuk dilantik selaku perdana menteri.

Pada 23 Sep, Encik Anwar yang juga Ketua Pembangkang pada satu sidang media mendakwa beliau mendapat sokongan 'kukuh dan meyakinkan' daripada ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baru. 

Sumber : Bernama/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan