Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anwar perlu rujuk perlembagaan persekutuan sebelum ulas spekulasi darurat, kata Annuar Musa

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menasihatkan Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim, merujuk kepada perlembagaan Persekutuan sebelum mengeluarkan kenyataan berkaitan spekulasi yang tersebar tentang kerajaan bakal mengisytiharkan darurat pada Jumaat (23 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Anwar perlu rujuk perlembagaan persekutuan sebelum ulas spekulasi darurat, kata Annuar Musa

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 24 Oct 2020 03:44PM Dikemas Kini : 24 Oct 2020 03:45PM

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menasihatkan Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim, merujuk kepada perlembagaan Persekutuan sebelum mengeluarkan kenyataan berkaitan spekulasi yang tersebar tentang kerajaan bakal mengisytiharkan darurat pada Jumaat (23 Okt).

Encik Annuar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata Presiden PKR itu perlu membaca perlembagaan Persekutuan di bawah perkara 150, yang menerangkan pelbagai jenis darurat.

“Apabila perkara yang menyentuh soal keselamatan negara, ekonomi dan sebagainya disenaraikan, maka pentaksirannya kena rujuk pada pakar undang-undang. Adakah pandemik COVID-19 ini tidak boleh masuk dalam kategori darurat dan keselamatan?

“32 buah negara seluruh dunia sudah pun isytiharkan darurat, Malaysia masih belum lagi kerana kita rasa masih boleh urus negara... itu pun saya tak kata kerajaan akan isytihar darurat,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan operasi MyGrocer@Wilayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Setapak hari ini (24 Okt).

Beliau mengulas kenyataan Encik Anwar semalam yang dilaporkan berkata pengisytiharan darurat hanya dilakukan apabila terdapat unsur ancaman pada keselamatan negara, dan sekiranya kerajaan yang menjadi punca pada ancaman keselamatan, maka langkah darurat adalah langkah ke belakang yang akan memungkin kediktatoran.
 
Encik Annuar berkata kerajaan belum memutuskan sebarang keputusan berhubung pengisytiharan darurat di negara ini, dan ia perlu mendapat kelulusan Yang di-Pertuan Agong  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebelum dilaksanakan.

“Apabila sebut soal darurat, orang awam bayangkan ‘curfew’, darurat masa 13 Mei tetapi kita terlupa waktu banjir di Manik Urai, Kelantan satu waktu dahulu, kenapa kerajaan tak isytihar darurat? Itu namanya darurat banjir dan darurat ada berbagai jenis darurat.

“Apa pun kita tunggulah...kerajaan belum membuat sebarang keputusan, kerana segalanya mesti mengikut jalur perundangan. Kalau kerajaan belum buat sebarang keputusan tapi kita dah jatuhkan hukum kata kerajaan nak jadi diktator, itu saya fikir tidak adil,” katanya.

Bagaimanapun Encik Annuar berkata sekiranya kerajaan membuat keputusan mengisytiharkan darurat, pasti mempunyai penjelasan teliti mengenainya seperti spesifikasi (jenis) darurat, serta siapa yang memerintah negara semasa pelaksanaan darurat tersebut.

“Saya lihat analisa (kenyataan) Anwar adalah analisa ‘layman’. Dia kata tiada apa-apa perkara yang mengganggu ketenteraman awam.

“Sepatutnya jangan hukum sebelum benda berlaku.. dia sendiri ramal dan dia sendiri jatuh hukum itu tidak baik. Saya fikir itu adalah tindakan tidak beretika. Lagi pun Anwar kena terima hakikat bahawa dia turut terlibat, sehingga menyebabkan timbul keadaan gawat sekarang ini,” katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan