Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anwar mohon batal saman berhubung pengampunan penuh

Presiden PKR Anwar Ibrahim memfailkan permohonan untuk membatalkan saman peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berhubung pengampunan penuh yang diberikan terhadapnya yang dipenjara atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Anggaran Waktu Membaca:
Anwar mohon batal saman berhubung pengampunan penuh

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 02 Jun 2020 06:39PM Dikemas Kini : 02 Jun 2020 06:44PM

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Anwar Ibrahim memfailkan permohonan untuk membatalkan saman peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berhubung pengampunan penuh yang diberikan terhadapnya yang dipenjara atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Perkara tersebut dimaklumkan peguam J. Leela yang mewakili Encik Anwar kepada pemberita selepas pengurusan kes secara e-review di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rumaizah Baharom yang kemudiannya menetapkan 14 Ogos untuk pendengaran permohonan anak guamnya itu.

"Pendengaran permohonan Anwar selaku defendan kedua untuk membatalkan saman itu akan didengar di hadapan Hakim Nik Hasmat Nik Mohamad," kata peguam itu.

Katanya, Peguam Kanan Persekutuan Natra Idris yang mewakili Lembaga Pengampunan selaku defendan pertama turut memaklumkan pihaknya juga akan memfailkan permohonan sama (untuk membatalkan saman).

Cik Leela berkata Encik Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memfailkan permohonan itu pada 13 Mei lepas antara lain atas alasan Khairul Azam selaku plaintif tidak mempunyai locus standi atau kedudukan di sisi undang-undang untuk meneruskan tindakan saman itu, tuntutan saman plaintif remeh, mengaibkan serta suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Mohd Khairul Azam selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Raja Riza & Associates pada 26 Feb lepas dengan menamakan Lembaga Pengampunan dan Encik Anwar selaku defendan pertama dan kedua.

Mengikut penyataan tuntutannya, Mohd Khairul Azam berkata pada 10 Feb 2015, Mahkamah Persekutuan sudah mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan terhadap Ahli Parlimen Port Dickson itu atas dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bagaimanapun, peguam itu mendakwa pada 9 Mei 2018, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 dan kerajaan baharu dibentuk, beberapa tindakan salah dan tidak berperlembagaan telah dilaksanakan bagi memastikan Encik Anwar mendapat pengampunan dan dibebaskan daripada hukuman penjara yang sedang dijalaninya.

Dakwa plaintif, selepas dua hari kerajaan baru dibentuk, perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, dalam sidang media pada 11 Mei 2018, mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sudah bersetuju memberikan pengampunan penuh kepada Encik Anwar.

Mohd Khairul Azam mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar adalah bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan oleh YDPA hendaklah dilaksanakan dengan nasihat oleh Lembaga Pengampunan.

Dakwanya, Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna selepas pembentukan kerajaan baharu dan adalah mustahil bagi Lembaga Pengampunan dapat bersidang memberikan nasihat kepada YDPA bagi memberikan pengampunan kepada Encik Anwar.

Oleh itu, plaintif antara lain memohon pengisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan telah ditubuhkan secara tidak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan bersidang dan seterusnya menasihati YDPA berkenaan rayuan pengampunan Encik Anwar, mengakibatkan nasihat yang diberikan kepada YDPA adalah tidak sah dan terbatal.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan