Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anwar Ibrahim bertanding jawatan presiden Parti Keadilan Rakyat

Menurut Encik Anwar, keputusan untuk bertanding dibuat selepas perbincangan dengan para pemimpin parti termasuk presiden buat masa kini, Dr Wan Azizah dan Timbalan Presiden parti Encik Azmin Ali, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Jul 2018 04:53PM Dikemas Kini : 15 Jul 2018 10:54PM

KUALA LUMPUR: Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim, akan bertanding bagi jawatan presiden untuk kali pertama selepas bertahun-tahun tidak dapat berbuat demikian akibat hukuman penjara yang dikenakan atasnya.

Isteri beliau, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sudah memegang jawatan itu tanpa bertanding selama lebih sedekad sejak parti itu ditubuhkan.

Encik Anwar akhirnya dapat melayakkan diri untuk bertanding, setelah menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong pada bulan Mei atas dakwaan kes liwat yang beliau dakwa dirancang oleh kerajaan sebelum ini untuk mengekangnya daripada menceburi politik. Perikatan yang disertai PKR, Pakatan Harapan, memenangi pilihan raya umum buat pertama kalinya pada awal bulan itu.

"InsyaAllah, jika mandat itu diperolehi daripada parti akar umbi di seluruh negara, saya akan memimpin parti itu sebagai Presiden setelah selesai Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat pada November 2018," katanya dalam satu catatan di laman Facebooknya pada Ahad (Jul 14).

Menurut Encik Anwar, keputusan untuk bertanding dibuat selepas perbincangan dengan para pemimpin parti termasuk presiden buat masa kini, Dr Wan Azizah dan Timbalan Presiden parti Encik Azmin Ali, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Beliau juga bercadang untuk bertanding sebagai Anggota Parlimen nanti bagi membuka jalan untuk kembali ke bidang politik. Sebelum pilihan raya umum pada 9 Mei lalu, Pakatan Harapan bersetuju untuk melantik Encik Anwar sebagai Perdana Menteri setelah Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan