Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anwar dakwa tanda-tanda rasuah dalam Pakatan Harapan

Gabungan parti pemerintah Pakatan Harapan (PH) sudah mula menunjukkan tanda-tanda amalan rasuah, kata presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim sebagai amaran pada Khamis (16 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Anwar dakwa tanda-tanda rasuah dalam Pakatan Harapan

Encik Anwar Ibrahim.

Diterbitkan : 17 May 2019 06:25PM Dikemas Kini : 17 May 2019 06:27PM

BANGI: Gabungan parti pemerintah Pakatan Harapan (PH) sudah mula menunjukkan tanda-tanda amalan rasuah, kata presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim sebagai amaran pada Khamis (16 Mei).

Bercakap selepas berbuka puasa dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO), bakal perdana menteri Malaysia itu berkata beberapa pemimpin Pakatan Harapan kelihatan menikmati gaya hidup mewah sejurus selepas gabungan itu memperoleh kemenangan mengejut pada pilihan raya umum tahun lalu.

"Masyarakat akan menimbulkan kritikan sinis, yang mengatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berani mengambil tindakan terhadap pemimpin yang berkuasa," katanya seperti ditukil the Star.

Encik Anwar berkata bibit-bibit rasuah kini ada dalam Pakatan Harapan, bukan hanya Barisan Nasional. Beliau bagaimanapun tidak menuding jari kepada mana-mana ahli politik tertentu.

Beliau berkata masyarakat tidak seharusnya menyokong Pakatan Harapan secara membabi buta. Sebaliknya adalah penting bagi anggota parti bersuara terhadap pemimpin yang secara mendadak memperolehi kemewahan.

"Kita mesti memperjuangkan idealisme, mempertahankam prinsip perjuangan, dan tidak bertolak ansur dengan rasuah, penyelewengan mahupun pemindahan (secara haram) bagi kekayaan diri sendiri dan keluarga.

"Ini sudah mula berlaku dalam PH," tambah beliau, seperti ditukil Malaysian Insight.

Encik Anwar juga menggesa masyarakat sivil agar lebih lantang mengingatkan para pemimpin agar tidak menonjolkan kemewahan.

Dalam ucapannya, Encik Anwar berkata beliau mahu menjadi seorang pemimpin yang menjunjung prinsip-prinsip Islam apabila beliau mengambil alih sebagai perdana menteri kelak.

"Kita akan menunjukkan kasih sayang terhadap saudara-mara bukan Muslim, orang Kristian dan Hindu, kerana mereka setia kepada kita," kata wakil rakyat Port Dickson itu.

Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum tahun lalu atas janji-janji antirasuah. Kempen mereka menyasarkan dakwaan rasuah dan penyelewengan berhubung dana kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebagai sebahagian ikrarnya untuk mentadbir secara telus, Pakatan Harapan mengarahkan semua menteri, timbalan menteri, penggubal dasar dan setiausaha politik untuk mengisytiharkan harta mereka dengan SPRM.

Bagaimanapun ia tidak bebas dari dakwaan rasuah.

Pada Ogos tahun lalu, SPRM menyiasat dakwaan terhadap penolong Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang menerima RM80,000 (S$26,300) daripada beberapa pihak untuk mengelakkan dari diisytihar muflis.

Sebulan kemudian, laporan dibuat terhadap setiausaha politik Menteri Kerja Raya Baru Bian kerana dituduh menyalahguna kuasa dengan menjanjikan kontrak dan peruntukan kepada pemimpin tempatan PKR.

Bulan lalu setiausaha politik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub pula ditahan kerana dituduh menerima suapan dalam bentuk seutas jam tangan mewah.

Sumber : CNA/Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan