Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anwar cabar tindakan PM Muhyiddin nasihat Agong gantung parlimen

Pemimpin pembangkang M'sia Anwar Ibrahim mengemukakan tuntutan mahkamah terhadap PM Muhyiddin dan kerajaan persekutuan, dengan permohonan untuk memulakan semakan kehakiman yang mencabar nasihat Encik Muhyidddin kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung sidang parlimen semasa keadaan darurat.

Anggaran Waktu Membaca:
Anwar cabar tindakan PM Muhyiddin nasihat Agong gantung parlimen

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 26 Jan 2021 05:37PM Dikemas Kini : 26 Jan 2021 05:44PM

KUALA LUMPUR: Pemimpin pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim mengemukakan tuntutan mahkamah terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan persekutuan, dengan permohonan untuk memulakan semakan kehakiman yang mencabar nasihat Encik Muhyidddin kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung sidang parlimen semasa keadaan darurat.

Dalam kenyataannya pada Selasa (26 Jan), peguam Encik Anwar, Ramkarpal Singh, berkata bahawa permohonan untuk semakan kehakiman difailkan ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin.

Encik Singh menambah: "Antara ketentuan yang diminta di dalam permohonan tersebut adalah perisytiharan dari Mahkamah bahawa nasihat Perdana Menteri kepada KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung Parlimen semasa keadaan darurat yang diisytiharkan baru-baru ini adalah bertentangan dengan undang-undang dan Perlembagaan persekutuan."

Encik Singh, yang juga ahli parlimen pembangkang Bukit Gelugor menekankan apa yang dicabar bukan perisytiharan darurat tetapi keputusan oleh perdana menteri menerusi Kabinet, untuk menasihati Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meluluskan kaedah 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat tersebut.

"Nasihat Perdana Menteri tersebut adalah dikatakan bertentangan undang-undang," kata Encik Singh.

Beliau menambah, beliau berharap satu tarikh pendengaran permohonan tersebut dapat ditetapkan secepat mungkin.

Sultan Abdullah mengisytiharkan keadaan darurat di seluruh negara pada 12 Januari bagi membendung penularan COVID-19. Perisytiharan itu berkuat kuasa hingga 1 Ogos atau lebih awal, bergantung kepada keadaan penularan koronavirus.

Encik Muhyiddin kemudian mendedahkan tiada persidangan parlimen ataupun pilihan raya akan diadakan semasa darurat negara.

Ini mencetuskan kritikan daripada ahli parlimen kerajaan dan pembangkang. Pada 14 Januari, Encik Anwar menyeru para Ahli Parlimen (AP) menulis kepada Agong untuk merayu agar perisytiharan darurat ditarik balik dan supaya parlimen bersidang secepat mungkin.

Kerajaan Malaysia sedang bergelut dengan pandemik COVID-19 dengan kesemua negeri kecuali Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 4 Feb.

Sehingga Isnin, Malaysia melaporkan 186,849 kes COVID-19. Daripada jumlah itu, 41,076 digolongkan sebagai kes dengan kebolehjangkitan aktif. Seramai 689 orang terkorban akibat virus itu.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan