Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Angka korban letupan Beirut meningkat kepada 177

Angka korban akibat letupan dahsyat di Pelabuhan Beirut minggu lalu meningkat kepada 177 orang, lapor agensi berita Anadolu, memetik Menteri Kesihatan Lubnan, Hassan Hamad pada Khamis (13 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Angka korban letupan Beirut meningkat kepada 177

Pemandangan menunjukkan tapak letupan di kawasan pelabuhan Beirut, Lubnan, pada 5 Ogos 2020. (Gambar: Issam Abdallah/REUTERS)

Diterbitkan : 14 Aug 2020 01:06PM Dikemas Kini : 14 Aug 2020 01:09PM

BEIRUT: Angka korban akibat letupan dahsyat di Pelabuhan Beirut minggu lalu meningkat kepada 177 orang, lapor agensi berita Anadolu, memetik Menteri Kesihatan Lubnan, Hassan Hamad pada Khamis (13 Ogos).

Mengambil kira 30 individu masih hilang selepas letupan maut di ibu kota itu, Encik Hamad memberitahu stesen televisyen tempatan bahawa jumlah kematian berkemungkinan boleh mencapai 200 orang.

Tentera Lubnan dalam satu kenyataan menyatakan bahawa diplomat asing sudah dimaklumkan mengenai mekanisme pengagihan bantuan berikutan kejadian berkenaan.

Maklumat mengenai bagaimana bantuan yang diterima oleh Lubnan akan sampai kepada mangsa letupan juga sudah dikongsi dengan para diplomat, tambah kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, keperluan pusat kesihatan dan hospital di negara itu akan ditentukan sebelum pengagihan bantuan perubatan dilakukan.

Bantuan perubatan akan diedarkan selaras dengan koordinasi antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan negara itu, manakala bantuan makanan akan diedarkan dengan kerjasama tentera dan organisasi bukan pemerintah, katanya.

Tentera Lubnan berkongsi mekanisme penyaluran bantuan yang diterima oleh negara itu secara telus dengan diplomat asing berikutan tuduhan rasuah terhadap pemerintah negara itu oleh aktivis media sosial dan rusuhan yang menganjurkan tunjuk perasaan di Beirut.

Letupan kuat menggegarkan Beirut pada 4 Ogos setelah timbunan 2,750 tan metrik ammonium nitrat yang diabaikan di gudang terbakar.

Gelombang letupan meruntuhkan bangunan-bangunan berhampiran dan menyebabkan kerosakan harta benda yang meluas di ibu negara, menyebabkan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal.

Rusuhan ganas berterusan walaupun Perdana Menteri Hassan Diab dan barisan menterinya mengundurkan diri sebagai pemerintah.

Presiden Lubnan Michel Aoun pada Rabu menyatakan kerosakan harta benda daripada letupan itu boleh menelan belanja lebih daripada AS$15 bilion (S$20.59 bilion), menurut pertubuhan berita rasmi Lubnan.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan