Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Angka korban kebakaran penjara Indonesia naik kepada 44 mangsa

Angka korban akibat kebakaran di sebuah penjara di Indonesia sudah meningkat kepada 44 mangsa, menurut pihak berkuasa pada Khamis (9 Sep) sedang anggota keluarga bergegas menyerahkan sampel DNA untuk mengenal pasti jasad mangsa.

Anggaran Waktu Membaca:
Angka korban kebakaran penjara Indonesia naik kepada 44 mangsa

Jenazah seorang mangsa kebakaran di penjara Tangerang pada 8 Sep 2021 dibawa ke bilik mayat (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 09 Sep 2021 08:07PM Dikemas Kini : 09 Sep 2021 08:14PM

TANGERANG: Angka korban akibat kebakaran di sebuah penjara di Indonesia sudah meningkat kepada 44 mangsa, menurut pihak berkuasa pada Khamis (9 Sep) sedang anggota keluarga bergegas menyerahkan sampel DNA untuk mengenal pasti jasad mangsa.

Angka korban kekal pada 41 mangsa pada hari sebelumnya setelah penjara yang penuh sesak di Tangerang, pinggir Jakarta itu terbakar pada dinihari Rabu.

Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia Yasonna Laoly berkata tiga daripada lapan banduan yang cedera parah meninggal dunia di hospital pada Khamis.

Mayat-mayat tersebut tidak memerlukan ujian DNA kerana masih dapat dikenal pasti, walaupun mengalami kelecuran sehingga 90 peratus, jelas menteri itu.

Polis sudah menerima 31 sampel DNA daripada keluarga mangsa lain untuk membantu mengenal pasti identiti mereka yang meninggal dunia.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca kebakaran, yang merebak dengan pantas sedang ramai banduan sedang tidur, terkurung di dalam lokap masing-masing.

Antara punca yang disyaki menyebabkan kebakaran itu adalah kerosakan elektrik.

Menurut pihak berkuasa, sistem elektrik penjara itu tidak dinaik taraf sejak dibina pada 1972, namun keadaan yang penuh sesak disebut-sebut sebagai punca yang menyumbang kepada jumlah korban yang tinggi.

Penjara itu menempatkan lebih 2,000 banduan, menurut satu laman pemerintah, lebih tiga kali ganda kapasiti yang dirancangkan.

Blok di mana kebakaran itu tercetus sepatunya menampung kapasiti maksimum seramai 40 banduan saja, namun menempatkan 120 orang.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan