Images
  • italy covid (1)
    Seorang lelaki berpelitup di Bari, Itali pada 27 Mac 2020. (Gambar: REUTERS/Alessandro Garofalo)

Angka korban COVID-19 di Itali mungkin 19,000 lebih tinggi dari yang dilaporkan

ROME: Angka korban akibat COVID-19 di Itali pada Mac dan April mungkin hampir 19,000 lebih tinggi daripada perangkaan rasmi 32,000 yang dilaporkan, menurut agensi jaminan sosial kebangsaan pada Khamis (21 Mei).

Istituto Nazionale della Previdenza Sociale (INPS), menurut institut jaminan sosial dan kebajikan terbesar di Itali, dalam satu kajian baru menyatakan bahawa angka korban rasmi tidak boleh "dipercayai".

Kajiannya menunjukkan sebanyak 156,429 kematian dilaporkan di Itali pada Mac dan April, iaitu 46,909 lebih tinggi daripada jumlah kematian purata bagi bulan-bulan tersebut antara 2015 dengan 2019.

Namun hanya 27,938 kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan semasa tempoh itu oleh Agensi Perlindungan Awam, menurut INPS.

Ini bermakna terdapat 18,971 lebih banyak kematian daripada biasa semasa tempoh ini. Kebanyakannya, iaitu 18,412 dicatat di bahagian utara negara itu yang paling teruk terjejas oleh COVID-19.

"Memandangkan angka kematian agak stabil pada waktu-waktu ini, kita boleh - dengan sikap berhati-hati sewajarnya - menisbahkan sebahagian besar kematian ini semasa tempoh dua bulan lalu kepada epidemik itu," menurut INPS.

Ia menambah bahawa peningkatan jumlah kematian kemungkinan bukan hanya akibat penyakit itu, namun juga kerana mereka yang mengalami penyakit lain yang tidak dapat menerima jagaan kesihatan akibat hospital-hospital terlalu sesak akibat pandemik virus korona itu.

Setakat Jumaat, pandemik itu dilaporkan meragut 32,486 jiwa di Itali, dengan 26,715 daripadanya di Lombardy saja - kawasan paling teruk terjejas id Eropah. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- AFP/TQ/tq

Top