Images
  • usa
    (Gambar: Reuters)

Angka korban COVID-19 AS jangkaui 500,000

WASHINGTON: Amerika Syarikat pada Isnin (22 Feb) melepasi paras 500,000 bagi jumlah angka korban COVID-19 yang dilaporkan di negara itu, hanya setahun lebih setelah pandemik koronavirus itu meragut nyawa mangsa pertama yang dijangkiti virus tersebut.

Amerika Syarikat melaporkan lebih 28 juta jangkitan COVID-19 dan 500,054 korban jiwa setakat sehingga petang Isnin, menurut perangkaan Reuters berdasarkan data kesihatan awam yang diperolehinya. Ini meskipun jumlah kes harian dan kemasukan ke hospital merosot ke tahap terendah sejak sebelum cuti Thanksgiving dan Krismas.

Sekitar 19 peratus daripada keseluruhan kematian COVID-19 di peringkat global dilaporkan di Amerika Syarikat, bilangan yang sangat tinggi memandangkan negara itu membentuk hanya 4 peratus daripada jumlah penduduk dunia.

Amerika Syarikat juga mempunyai salah satu kadar korban tertinggi bagi setiap 100,000 penduduk, dengan hanya segelintir negara seperti Belgium, United Kingdom dan Itali yang mengatasi negara tersebut.

Dengan jumlah kematian kini menjangkaui 500,000, ini bermakna satu daripada setiap 673 penduduk Amerika Syarikat tewas kepada jangkitan pandemik tersebut.

"Perangkaan ini sangat mengejutkan," kata Dr Anthony Fauci, penasihat utama penyakit berjangkit kepada Presiden Joe Biden semasa mendedahkan perangkaan tersebut dalam rancangan Good Morning America terbitan ABC News. "Sekiranya anda menyingkap kembali, kita berada dalam kedudukan lebih buruk berbanding banyak negara lain, padahal kita adalah sebuah negara yang mewah dan maju."

Prestasi buruk negara itu turut mencerminkan tindak balas yang lemah pada tahun lalu, di mana pentadbiran bekas presiden Donald Trump secara amnya menyerahkan tugas menangani krisis kesihatan awam terbesar dalam tempoh 100 tahun itu kepada wilayah masing-masing, dengan Encik Trump sendiri sering bertikai dengan para pakar kesihatan negara itu.

Presiden Joe Biden dan Naib Presiden Kamala Harris dijangka akan memperingati korban jiwa yang besar akibat COVID-19 pada lewat Isnin dalam satu upacara yang akan diadakan di Rumah Putih. Upacara itu dijangka akan merangkumi ucapan Presiden Biden dan upacara bertafakur dan menyalakan lilin bagi memperingati mereka yang tewas kepada virus tersebut.

Presiden Biden juga akan mengarahkan bendera Amerika Syarikat di kesemua bangunan persekutuan dikibarkan separuh tiang selama lima hari, menurut jurucakap Rumah Putih Jen Psaki kepada para wartawan.

Katedral Nasional di Washington juga akan membunyikan locengnya sebanyak 500 kali pada petang Isnin untuk memperingati mereka yang gugur akibat jangkitan COVID-19 dalam satu upacara yang akan disiarkan secara langsung, menurut notis di laman web gereja tersebut.

- Reuters/TQ/tq

Top