Images
  • brazil covid

Angka korban akibat COVID-19 melepasi setengah juta di seluruh dunia

SYDNEY: Jumlah kematian akibat COVID-19 mencecah setengah juta orang pada Ahad (28 Jun), menurut data yang dikumpulkan Reuters. Perkembangan menggerunkan pandemik global itu berlaku sedang penularan baru kelihatan muncul semula di beberapa negara sedang rantau-rantau lain masih bergelut dengan gelombang jangkitan pertama.

Penyakit pernafasan yang disebabkan oleh virus korona baru itu sangat berbahaya bagi warga senja, namun golongan dewasa lain dan kanak-kanak juga membentuk 500,000 daripada jumlah kematian dan lebih daripada 10 juta kes jangkitan telah dilaporkan.

Walaupun kadar kematian secara keseluruhan mendatar dalam beberapa minggu lalu, para pakar kesihatan menyuarakan keprihatinan mengenai jumlah rekod kes baru di negara-negara seperti Amerika Syarikat, India dan Brazil, serta penularan baru di beberapa kawasan di Asia.

Lebih 4,700 orang terkorban setiap 24 jam akibat penyakit berkaitan virus korona, menurut perkiraan Reuters berdasarkan jumlah purata 1 hingga 27 Jun.

Ini adalah bersamaan 196 orang sejam, atau seorang setiap 18 saat.

Sekitar suku daripada semua kematian setakat ini berlaku di Amerika Syarikat, menurut data Reuters. Lonjakan kes baru-baru ini paling ketara di segelintir negeri di selatan dan barat yang dibuka semula lebih awal dan meluas.

Kematian pertama yang dicatatkan akibat virus korona baru itu adalah pada 9 Jan, seorang lelaki 61 tahun dari bandar Wuhan di China yang merupakan pelanggan tetap di pasar basah yang dikenal pasti sebagai punca penularan itu.

Hanya dalam masa lima bulan, jumlah kematian akibat COVID-19 kini sama dengan angka korban tahunan akibat malaria, salah satu penyakit berjangkit yang paling membawa maut.

Angka kematian purata mencecah 78,000 sebulan, berbanding 64,000 kematian berkaitan AIDS dan 36,000 kematian akibat malaria, menurut perangkaan 2018 dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Para pakar kesihatan memberi amaran bahawa data rasmi mungkin tidak memberi gambaran sebenar dengan ramai yang percaya bahawa kedua-dua kes jangkitan dan kematian mungkin kurang dilaporkan di beberapa negara.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- Reuters/TQ/tq

Top