Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Angka kematian COVID-19 di India cecah paras rekod baru

Hospital-hospital, rumah mayat dan tempat-tempat pembakaran mayat bergelut dengan begitu banyak kes sedang India melaporkan lebih 300,000 kes baru sehari.

Anggaran Waktu Membaca:
Angka kematian COVID-19 di India cecah paras rekod baru

Gelombang kedua penularan COVID-19 di India membebankan tempat-tempat pembakaran mayat. (Gambar: AFP/Manjunath Kiran)

Diterbitkan : 02 May 2021 11:43PM Dikemas Kini : 02 May 2021 11:47PM

NEW DELHI: Angka kematian COVID-19 di India mencatat paras rekod dengan 3,689 kes pada hari ini (2 Mei), iaitu kenaikan paling tinggi dalam sehari sejak pandemik bermula, menjadikan keseluruhan angka kematian di negara itu kepada lebih 215,000.

Pihak berkuasa melaporkan 392,488 kes jangkitan baru dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan keseluruhan kes jangkitan COVID-19 kepada 19.56 juta. Sejauh ini, virus itu sudah meragut nyawa 215,524 orang di India.

Hospital-hospital, rumah mayat dan tempat-tempat pembakaran mayat bergelut dengan begitu banyak kes sedang negara itu melaporkan lebih 300,000 kes baru sehari sejak lebih 10 hari berturut-turut.

Banyak keluarga terpaksa berdiri atas kaki sendiri untuk mencari ubat dan oksigen.

Hampir 10 wilayah India dan wilayah-wilayah kesatuan sudah mengenakan sekatan, meskipun pemerintah persekutuan terus keberatan untuk melaksanakan perintah berkurung di merata negara.

Wilayah timur Odisha menjadi yang terbaru mengumumkan perintah berkurung dua minggu , menyertai Delhi, Maharashtra, Karnataka dan Bengal Barat.

Wilayah-wilayah lain, termasuk Uttar Pradesh, Telangana, Assam, Andhra Pradesh dan Rajasthan, sudah melaksanakan perintah berkurung sebelah malam atau pada hujung minggu.

Akhbar Indian Express melaporkan pada Ahad bahawa pasukan bertindak COVID-19 sudah menasihatkan pemerintah persekutuan supaya melaksanakan perintah berkurung di merata negara.

Bulan lalu, Perdana Menteri Narendra Modi berkata semua usaha perlu dijalankan untuk mengelak dilaksanakan perintah berkurung.

Pemerintah persekutuan bimbang satu lagi perintah berkurung akan menyebabkan kesan buruk kepada ekonomi. Perintah berkurung yang dilaksanakan pada tahun lalu selepas gelombang pertama COVID-19 menyebabkan kehilangan pekerjaan sedang ekonomi menguncup pada paras rekod 24 peratus dalam pada April hingga Jun 2020, berbanding tempoh sama setahun sebelum ini.

Pemerintah Encik Modi dikritik kerana membiarkan jutaan orang yang rata-rata tidak memakai pelitup menghadiri pesta-pesta keagamaan dan rapat-rapat politik di lima wilayah pada bulan Mac dan April.

Kes harian di wilayah-wilayah tersebut melonjak sejak itu.

Semalam (1 Mei) Reuters melaporkan bahawa pemerintah persekutuan dituduh gagal memberi tindak balas kepada amaran yang dikeluarkan pada awal Mac daripada para penasihat saintifiknya bahawa varian baru yang lebih mudah berjangkit sedang mencengkam negara itu. 

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan