Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anggota yang khianati UMNO akan dipecat, tegas Ahmad Zahid Hamidi

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO akan memecat anggotanya yang menjadi pencadang, penyokong atau penaja calon Bebas dan parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Anggaran Waktu Membaca:
Anggota yang khianati UMNO akan dipecat, tegas Ahmad Zahid Hamidi

Gambar: Zahid Hamidi/Facebook

Diterbitkan : 29 Apr 2018 04:58PM Dikemas Kini : 29 Apr 2018 05:48PM

BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO akan memecat anggotanya yang menjadi pencadang, penyokong atau penaja calon Bebas dan parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Datuk Seri Ahmad Zahid, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden, berkata tindakan tegas perlu diambil kerana kumpulan itu mengkhianati parti.

“Saya ingin menyebutkan bahawa memang terdapat di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat bahagian yang bertanding sebagai calon Bebas atau calon parti pembangkang.

“Sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan UMNO, mereka yang terlibat secara langsung, secara automatik (mereka) akan terkeluar menjadi ahli UMNO,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program NBOS: 1AMANWEEK 2018 Banteras Jenayah Dan Perangi Dadah di Dataran Bagan Datuk hari ini (29 Apr).

Beliau diminta mengulas tindakan beberapa pemimpin bahagian UMNO yang bertanding atas tiket bebas dan pembangkang pada hari penamaan semalam (28 Apr).

Datuk Seri Ahmad Zahid turut memuji tindakan parti politik termasuk pembangkang yang menjaga displin para penyokong sehingga tidak menimbulkan sebarang kekecohan dan kekacauan sepanjang proses penamaan calon berlangsung.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata tiada sebarang insiden kekerasan dan tidak diingini berlaku yang memerlukan campur tangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak mengawal keselamatan di sekitar kawasan penamaan calon.

Beliau berpuas hati dengan proses penamaan calon di 222 pusat penamaan calon di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak serta di kawasan 'hotspot' atau ' flash point'.

Datuk Seri Ahmad Zahid berharap trend itu dapat dikekalkan sepanjang tempoh berkempen terutamanya pada hari pengundian pada 9 Mei ini.

"Saya berharap semua parti politik dapat menghormati peraturan dan mengawal perasaan pengikut masing-masing dan saya berterima kasih kepada PDRM yang mengambil inisiatif untuk melakukan ‘engagement’ dengan semua parti politik supaya mereka lebih berketertiban ketika berkempen dan hari mengundi,” katanya.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan